"...Be like a flower that gives its fragrance even to the hand that crushes it..." -
Ali Ibn Abi Talib AS
Bab 24
SEPASANG mata awas memandang ke semua sudut di
dalam rumah besar itu. Setiap manusia yang memenuhi ruang rumah diperhati. Dia
nampak seseorang. Dia nampak! Irfan mara ke hadapan. Tadi dia nampak Nurul Ain.
Jelas. Matanya tidak menipu. Nurul Ain berdiri di hujung sana bersama seorang
wanita dan seorang budak perempuan.
Tergesa-gesa
dia mengatur langkah. Yang berbaju biru itu pasti Nurul Ain. Dia dapat mengecam
lagi seraut wajah itu sewaktu orang tersebut menoleh. Keghairahan dia mencari
Nurul Ain menyebabkan dia tidak awas dengan orang di sekeliling. Sampai
terlanggar-langgar.
“Irfan.”
Tengku Hanif memperbetulkan songkoknya yang beralih sedikit dari kedudukan
asal. Irfan melanggar dia agak kasar. Sampai terdorong ke belakang dia
dibuatnya.
“Sorry,”
ucap Irfan.
Tengku
Hanif mengelar lengan Irfan. Dia mahu Irfan berhenti mencari kerana dia tahu
siapa yang dicari lelaki itu.
“Tunggu
sekejap. Tu, papa aku nak cakap sesuatu,” bisik Tengku Hanif.
Irfan
mengerling Tengku Hanif. Walau bengang kerana dia dipaksa melangut di situ, di
sebelah Tengku Hanif, dia menurut juga. Berdirilah dia di situ sambil mata
menghala ke depan.
“Alhamdulillah,
majlis doa selamat sudahpun selamat disempurnakan. Terima kasih kepada semua
ahli keluarga yang datang. Terima kasih banyak-banyak.” Datuk Awang Kader
memulakan bicara. Satu per satu wajah di situ diperhati. Kini yang tinggal di
dalam rumah ini hanyalah kaum keluarga. Tetamu dan jemaah masjid sudah pulang
selepas selesai majlis doa kesyukuran tadi.
“Saya
adakan majlis doa kesyukuran ini bersebab. Sebagai tanda betapa syukurnya saya
di atas nikmat dan pemberian yang telah Allah berikan kepada saya. Pemberian
yang tiada nilainya. Pemberian yang begitu berharga lebih dari nyawa saya
sendiri.”
Beberapa
orang ahli keluarga Datuk Awang Kader saling berpandangan. Masing-masing kurang
faham dengan maksud yang cuba disampaikan oleh Datuk Awang Kader. Puan Marlissa
juga begitu. Berkerut dahinya memandang abangnya di depan sana.
“Alhamdulillah.
Allahuakbar. Hanya itu kata-kata yang mampu saya ungkapkan di saat saya masih
diberi peluang untuk menikmati dan memperoleh satu anugerah yang tiada
tandingan. PadaNya saya meminta, padaNya saya memohon dan padaNya saya merayu.
Allah itu Maha Agung, Allah itu Maha Pemberi, Dia perkenankan doa saya. Dia
makbulkan doa saya.” Ketika berkata, Datuk Awang Kader menoleh ke arah Nurul
Ain yang duduk di ceruk rumah itu. Berselindung di sebalik dinding bersama Puan
Suriani dan Asyikin yang dijemput hadir bersama.
Datuk
Awang Kader menarik nafas sebelum menyambung, “Dua puluh satu tahun yang lalu,
di dalam sebuah kemalangan yang meragut nyawa seseorang, anak saya juga hilang.
Ada yang berkata dia sudah mati, tetapi saya percaya Dayang Nur Aisha masih
hidup cuma tidak diketahui di mana dia menghilang. Saban hari, setiap kali
berdoa, saya memohon agak puteri kecil saya itu dilindungi. Allah telah
memperkenankan doa saya.”
Datuk
Awang Kader berhenti di situ. Dia memandang kaum keluarga yang mulai berbisik
sesama sendiri. Ada yang merenungnya dengan kerutan di dahi. Ada yang beriak
terkejut, berkemungkinan sudah tahu apa yang hendak disampaikan olehnya.
“Syukur
Alhamdulillah, Dayang Nur Aisha selamat di dalam kemalangan itu dan sekarang,
dia sudah cukup dewasa. Kak Mardihah, Marlissa, anak saya masih hidup. Dayang
Nur Aisha sudah kembali ke pangkuan saya.” Merembes juga air mata Datuk Awang
Kader. Betapa dia menantikan saat ini. Betapa dia mahu menunjukkan bahawa usaha
dan kesabaran selama ini menemui jawapan yang menggembirakan.
Puan
Sri Mardihah dan Puan Marlissa saling berpandangan sebelum keduanya memesong
mata pada seorang gadis yang berjalan mendekati Datuk Awang Kader.
“Ain?”
Tercetus nama itu dari mulut Irfan. Dia tercengang. Khabar itu mengejutkan
dirinya seratus peratus. Itukah Dayang Nur Aisha? Nurul Ain? Dia terus
merenungi Nurul Ain.
“Yes,
she is your cousin. Real cousin, selain Kathy.” Tengku Hanif memegang bahu
Irfan.
Irfan
menoleh. Antara percaya dan tidak percaya. Selama ini Nurul Ain yang berdiri di
sebelahnya, Nurul Ain yang diajak berbual dan Nurul Ain yang disenangi ialah
Dayang Nur Aisha? Tergeleng-geleng kepala Irfan. Kecilnya dunia dan besarnya
kuasa Allah.
NURUL AIN meninggalkan Puan Suriani di ruang
tamu. Terlalu banyak persoalan yang ditanya oleh kedua orang makcik yang baru
dikenali sebentar tadi. Salah seorang dari mereka merupakan ibu Irfan.
Asingnya
terasa di sini. Semua nampak mewah. Semua nampak gah. Gaya bercakap pun macam
pelik. Nurul Ain menarik nafas dalam-dalam. Bukan mudah untuk dia bertukar
status diri sekelip mata. Dia perlu masa. Buat masa ini, dia memberi ruang
kepada diri untuk lebih menerima. Itu pesan emak.
“Rupanya
youlah anak perempuan tunggal uncle I. So unbelieveable! Kita pernah
bertembung, bercakap, even you pernah langgar I.” Kathy yang datang dari arah belakang
menegur dengan nada suara penuh kejutan.
Nurul
Ain berpaling. Atas bawah dia pandang perempuan itu. Terjungkit keningnya waktu
melihat baju yang tersarung di tubuh sepupu yang baru dikenali. Sudah indah
berbaju kurung tetapi kain itu peri kain langsir. Jarang sampai menampakkan
bentuk tubuh dan warna kulit.
“”Welcome
to our family. I Kathy,” sambung Kathy lagi. Dia menghulur tangan berserta
senyuman.
Nurul
Ain bangun. Huluran tangan gadis cantik itu disambut dan senyuman turut
berbalas bersama anggukan sebagai tanda terima kasih kerana berbesar hati
menyambut dia masuk ke dalam keluarga ini, meski dia tidak pernah impikan semua
ini berlaku.
“I
think I need to go,” kata Kathy sementelah matanya menyingkap Tengku Hanif
berseorangan di ruang tamu. Dia ingin menemani lelaki yang menjadi pujaan hati
sejak kecilnya.
Nurul
Ain memandang lenggok Kathy. Tidak sempat memperkenalkan namanya sendiri. Tidak
mengapalah. Nanti-nanti, Kathy pasti tahu nama dia walau dia tidak sebut.
Sepeninggalan
Kathy yang entah ke mana, dia didatangi Irfan. Lihat senyuman Irfan yang
bersahaja itu membuat Nurul Ain tenang. Mujur ada seseorang yang dikenali
selain Tengku Hanif. Sekurang-kurang tidaklah ada bunyi cengkerik mengiringi
dia sepanjang dia berada di sini.
“Tak
sangka, kecil sangat dunia dan besarnya kuasa Allah.” Irfan memulakan
kata-kata. Dia mengambil tempat di sisi Nurul Ain.
Nurul
Ain menunduk sebelum mata itu menentang renungan Irfan. Pinggir bibirnya mengukir
senyuman kecil. Dalam anggukan perlahan, dia mengakui bicara Irfan benar
belaka. Dunia ini memang terasa kecil. Selama hari ini dia dikelilingi
orang-orang yang punyai pertalian darah dengannya.
“So,
you are my cousin now, Ain.” Irfan masih menatap Nurul Ain.
Nurul
Ain menjungkit bahu. “I guess so.”
Irfan
ketawa kecil. Rasa tidak percaya masih menghuni diri. Tadi sempat dia menyuruh
Maisara mencubit lengannya. Sampai lebam dibuatnya dek mahu memastikan diri
tidak berpijak di bumi lain.
Nurul
Ain berkalih ke belakang saat suara seorang perempuan berdecit manja mengetuk
gegendang telinga. Dia nampak Kathy sedang ketawa sambil menekup mulutnya.
Duduk rapat di sebelahnya ialah Tengku Hanif.
Beberapa
ketika memerhati, Tengku Hanif turut melempar pandang padanya. Keduanya saling
berlaga renungan sebelum Nurul Ain melarikan pandangan matanya ke tempat lain.
“Dah
kenal dengan Kathy? Dia pun sepupu awak. Anak kepada Mak Long.” Irfan berkata
dengan jari telunjuk menghala ke arah Kathy di ruang tamu.
“And
Tengku Hanif...” Irfan berjeda seketika sebelum menyambung, “He also your
cousin.” Suara Irfan mendalam saat menyebut status sepupu itu. Kalau pun tidak
diberitahu, dia dapat membaca hubungan sebenar Tengku Hanif dengan keluarga
ini. Tertera pada nama lelaki itu, berbinkan dengan nama Tengku Ali.
“Already
know,” balas Nurul Ain dalam kuluman senyum nipis.
“Ohh.”
Irfan menyahut, tiada reaksi kejutan di wajah itu.
“Hai
kak...” Maisara datang menerpa. Dia memaut lengan Nurul Ain. Teruja rasa bila
dapat bersua muka dengan seseorang yang dikenali melalui cerita keluarga.
Selain Kathy, dia punya Dayang Nur Aisha. Lagipun, dia tidak suka Kathy sangat.
Kalau cakap, hendak meninggi sahaja.
Nurul
Ain membuat riak bertanya kepada Irfan. Gadis cantik di depannya ini belum
dikenali lagi.
“Kenalkan,
Irine Maisara. Satu-satunya adik saya.” Irfan berkata. Makin lebar senyuman
Maisara. “Sara, ini Kak Ain.”
Berkerut
dahi Maisara. “Kak Ain? Kenapa tak panggil nama Aisha? Kan sedap nama yang
arwah Mak Ngah beri tu.”
Irfan
membulatkan mata. Sebagai tanda meminta Maisara segera tutup mulut daripada
membicarakan sesuatu yang tidak patut dibawa masuk ke dalam perbualan mereka.
“Tak
apa. Kalau Sara rasa nak panggil nama tu, Kak Ain tak kisah,” celah Nurul Ain.
Dia pamer senyum.
Maisara
mengerling abangnya. Kemudian dia kembali memeluk lengan Nurul Ain.
“Lepas ni, Sara dah ada kawan baru.
Sara tak suka dengan Kak Kathy,” tutur Maisara dengan wajah mendung. Kathy
sukar diajak bercakap. Kalau bercakap pun pada perkara yang dirasakan penting.
Hendak berborak kosong, memang tidaklah. Peliknya, Kathy boleh bercakap tanpa
henti dengan sesetengah orang seperti abangnya dan Tengku Hanif.
“Sara.”
Irfan menegur lagi.
Maisara
mencebikkan muka.
Kedatangan
Datuk Awang Kader mengundang tumpuan Nurul Ain. Segera dia berdiri. Datuk Awang
Kader menghulur tangan. Teragak-agak dia menyambut tangan itu. Ya, seharusnya
tangan itu yang melindungi dia selama ini tetapi takdir memisahkan mereka
berdua, lantas baru kini mereka bersua kembali.
“Mari,
ayah nak bawa Ain jumpa Tok Ki,” kata Datuk Awang Kader.
Nurul
Ain mengekori Datuk Awang Kader. Entah ke mana lelaki itu mahu bawa dia pergi.
Mula-mula mereka menyusuri ruang tamu. Dia sudah kenal hampir semua
saudara-mara yang berkumpul di rumah besar ini. Baik keluarga belah Datuk Awang
Kader dan keluarga belah arwah ibunya.
Mengikut
perkiraan sendiri, dia punya dua ibu saudara kandung dari keluarga Datuk Awang
Kader. Tiga bapa saudara dan seorang ibu saudara kandung di sebelah keluarga
ibunya. Mengejutkan bila Datin Sabrina itu sebenarnya adik kandung arwah
ibunya. Kiranya perkahwinan ‘ganti tikar’. Dengan ini, dia memang punya
hubungan kekeluargaan dengan Tengku Hanif Faisal. Waktu itu, dia hanya mampu
menyimpul dalam kepala satu fakta iaitu, banyak perkara yang dia perlu ketahui
tentang keluarga ini.
Lirikan
mata Nurul Ain menyingkap susuk tubuh yang duduk di atas kerusi roda. Kemudian
dia menyoroti wajah tua dan berkedut di depan mata. Lama diperhati sebelum dia
ternampak bibir tua itu mengukir senyuman buatnya.
“Apak,
ini Aisha.” Datuk Awang Kader merapati Abdullah. Tangan tua itu digenggam erat.
Abdullah
terus memandang Nurul Ain. Tubir mata terasa hangat. Perlahan-lahan, airmata
jatuh membasahi pipi. Abdullah mendepa tangan. Melihat kelakuan Abdullah, bagai
menarik Nurul Ain untuk menerpa ke arah lelaki yang dipanggil Tok Ki. Tidak
semena-mena, dia turut tenggelam bersama sendu yang tiada henti. Sayunya hati
dipertemukan dalam keadaan begini. Syukur, dia masih diberi peluang untuk
berada di bawah payungan kasih-sayang keluarga kandung.
“Aisha.”
Abdullah menyeru nama Nurul Ain lagi. Wajah itu ditatap sepuasnya. Nurul Ain
mirip arwah anaknya, Nur Aminah. Terlerai sebuah rindu yang selama ini
menjeruk hati.
Abdullah
menciumi pipi Nurul Ain. Kemudian tangan kasar itu mengusap lembut pipi Nurul
Ain. Saat itu, Nurul Ain merasakan hangat kasih sayang keluarga melingkari
dirinya, sama seperti kasih sayang keluarga Puan Suriani.
“Kader,
dia mirip Min,” kata Abdullah. Berkaca-kaca mata itu memandang ke arah
menantunya.
Datuk
Awang Kader mengangguk sambil tersenyum. Dia akui kata-kata Abdullah. Nurul Ain
memang mewarisi fizikal Nur Aminah. Pandangan matanya, senyumannya seakan jelmaan
Nur Aminah.
“Tentu
nenek Aisha gembira kalau dia masih hidup lagi.” Kembali berderai airmata
Abdullah.
Nurul
Ain mendongak. “Nenek...” Bicara Nurul Ain putus di situ.
Terangguk-angguk
kepala Abdullah.
“Allah
lebih sayangkan Tok Wan dan ibu kamu, Aisha.”
Nurul
Ain kembali menunduk. Linangan airmata yang bersisa diseka dengan jari.
Abdullah
mengurut dada. Perit bercampur pedih mencucuk dada ketika dia batuk-batuk keras
begini.
“Tok
Ki.” Nurul Ain cemas melihat keadaan Abdullah. Berkerut-kerut dahi datuknya
ketika batuk.
Abdullah
mengukir senyuman kelat.
“Tak
apa. Tok Ki sakit sikit aje. Biasalah, orang dah tua. Kalaupun Tok Ki dijemput
pergi waktu ni pun, Tok Ki rela. Tok Ki dah jumpa Aisha depan mata Tok Ki.
Aisha tahu betapa kami tidak pernah patah semangat mencari Aisha? Ayah Aisha
orang yang paling bersungguh cari Aisha. Dia tidak pernah patah semangat.
Mulanya kami putus asa, tetapi bila melihat kesungguhan ayah Aisha, semangat
kami pulih. Dia yang meniupkan kepercayaan itu pada kami.” Abdullah merenungi
menantunya saat berkata demikian.
Nurul
Ain turut memacakkan matanya pada Datuk Awang Kader.
“Apak,
rehatlah,” kata Datuk Awang Kader.
“Iyalah.
Dari tadi kau suruh apak rehat. Apak datang sini nak jumpa cucu apak,” getus
Abdullah.
Tersungging
senyuman halus Datuk Awang Kader.
“Biar
aku bawa apak berehat,” celah Bahari. Dia menolak kerusi roda Abdullah mara ke
depan sebelum hilang di sebalik dinding putih.
“Saya
nak ziarah kubur arwah ibu.” Perlahan suara Nurul Ain tetapi bisa ditangkap
oleh Datuk Awang Kader.
“Boleh
ayah bawa saya ziarah kubur arwah ibu?” Kali ini suara Nurul Ain lebih kuat.
Datuk
Awang Kader mengangguk laju. Kedua belah tangan Nurul Ain digenggam erat.
Senyuman lebar menghiasi bibir itu.
“Boleh sayang. Boleh!”
Jelas
terpancar kebahagiaan di wajah Datuk Awang Kader. Inilah permintaan pertama
yang Nurul Ain aju padanya. Apatah lagi gelaran ayah itu sudah melekat di bibir
Nurul Ain. Terasa diri sudah diterima sepenuhnya oleh anak gadisnya.
“Bila
Ain nak pergi? Cakap aje pada ayah.” Bersungguh-sungguh benar lelaki itu hendak
menunaikan permintaan Nurul Ain.
“Saya
tak kisah bila-bila pun,” balas Nurul Ain.
“Kalau
macam tu, lusa, kita ikut Pak Long balik.” Datuk Awang Kader memberi cadangan
dan Nurul Ain mengangguk tanda setuju. Sekelipan, Nurul Ain ditarik ke dalam
pelukan erat ayahnya. Dia terkebil-kebil. Datuk Awang Kader mengusap kepalanya,
berserta bicara halus yang kedengaran dari mulut itu.
“Min,
she’s here. Our adorable daughther with us now.”
Nurul
Ain kaku. Bicara halus itu meresapi hati lalu terkesan di jiwa.
Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: 'Saya menulis kerana minat'- Itulah yang tersembunyi dalam hati aku sebenarnya. Kalau cakap kat orang kemain mengarut. Bahahaha. Next week last practical. Hey, lepas ni sesi gigih mencari kerja.
2 comments:
Nak lg please tq.
CJKP akn diupdate nnti..:) TQ sudi bc..:)
Post a Comment