Saturday, April 20, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab7.

Assalamualaikum.








"...When you realise you cannot have everything you want, you've understood the nature of dunya. When you realise that you can have everything you love or desire, you've understood the nature of Jannah..." - Yasmin Mogahed









KAMSIAH pening kepala. Hampir saban waktu dia dilempar permintaan Haikal yang mahu memperisterikan Humairah. Sampai sakit kepala dia memikirkan permintaan Haikal yang tidak masuk akal.
            Diikutkan hati, dia memang setuju sangat andai Humairah menjadi menantunya. Tetapi bila mengenangkan anak lelakinya sendiri, dia geleng kepala. Mampukah Haikal menggalas tanggungjawab sebagai suami yang membimbing isteri ke jalan yang direhai Allah? Yang wajib pun lintang-pukang, apatah lagi yang harus dan sunat bagai. Kamsiah memicit dahi. Haikal, Haikal. Kalaulah empunya diri berlawanan sikap dan peribadinya, pasti awal-awal lagi dia pinangkan Humairah untuk Haikal. Ini... Kamsiah menghela nafas.
            Kamsiah menjenguk ke luar tingkap. Kelihatan Haikal sedang memarkir motosikalnya di bawah sepohon pokok rendang di depan rumah. Setelah itu, Haikal mula menapak menghampiri rumah pusaka keluarga arwah suaminya. Kamsiah segera bangun dan melenggang ke dapur. Baru pijak lantai beralas tikar getah berwarna coklat itu, Haikal sudah terpacak depan mata. Dipandang wajah Haikal tidak berkelip mata.
            “Kau ni!” Kamsiah memukul badan Haikal. Nyaris gugur jantungnya.
            Haikal ketawa mengekek. Dia labuh duduk di kerusi. Menunggu Kamsiah menghidang makan untuknya.
            “Cepatlah mak. Aku lapar!” gesa Haikal.
            Tergeleng-geleng kepala Kamsiah. Nasi panas diceduk masuk ke dalam pinggan leper di atas meja. Kemudian dia tolak pinggan itu ke arah Haikal. Haikal tersenyum menyeringai. Lekas menyuap nasi putih ke dalam mulut. Sebelah tangan memegang sudu lalu menceduk kuah kari ayam dan dituang ke atas nasinya. Gaya Haikal persis orang kebulur.
            Kamsiah memerhatikan tingkah anak bujangnya. Melihat Haikal, dia terfikir, di mana silap dia mendidik Haikal. Hendak kata tidak dihantar ke sekolah agama, mereka suami isteri hantar Haikal belajar agama. Cukup lengkap. Sekolah untuk ilmu duniawi, juga dihantar pergi. Kamsiah duduk bertentangan Haikal yang masih rakus menjamu selera.
            “Haikal, kau tak mahu  berubah ke?” Ringan mulut Kamsiah bertanya.
            Sekelipan, Haikal berhenti menyuap nasi. Mendongak memandang Kamsiah yang merenunginya. Haikal mengesat hujung bibir sendiri. Kemudian capai segelas air sejuk yang tersedia depan mata.
            “Nak berubah apanya, mak?” Haikal memulangkan pertanyaan. Diteguk air sejuk itu.
            “Cuba kau tengok diri kau tu.” Muncung bibir Kamsiah menghala ke arah Haikal.
            Haikal mengerutkan dahi. Hampir bertemu kedua keningnya. Dia pandang diri sendiri. Dari dulu sampai sekarang, sama aje. Tiada yang kurang pun. Haikal kembali memandang Kamsiah.
            “Sempurna aje aku ni mak,” jawab Haikal.
            Kamsiah menghela nafas panjang. Pendek akal betul, gerutunya dalam hati.
            “Mak tahu kau tu memang sempurna. Tuhan jadikan kau cukup sifat. Tapi roh kau tu tak sempurna. Cacat sana sini. Kurus kering, tak macam tuan badannya ni,” kata Kamsiah.
            Haikal buat tidak dengar. Kamsiah selalu berlagak bagai ustazah. Kerap sangat membebel itu ini. Sudahnya, telinga sendiri naik lebar. Naik bernanah. Lantas, dia cepat-cepat menghabiskan nasi. Hendak tambah nasi pun, dia fikir dua tiga kali. Makin lama memaku diri depan Kamsiah, makin tebal cuping telinga.
            “Cuba bawa-bawa berubah, Kal. Kau tak kasihan ke pada abah kau dalam kubur sana? Cubalah doakan kesejahteraan abah kau tu. Ini tidak, jangankan kata doa, ziarah kubur abah pun kau liat, kan? Apalah nak jadi dengan kau ni.” Kamsiah terus membebel. Selagi Haikal ada depan mata, selagi itulah mulutnya terkumat-kamit bagai machine gun. Melontar apa sahaja yang terlintas di kepala.
            “Doa mak seorang kan cukup,” pintas Haikal.
            Mencerlung renungan Kamsiah kepada Haikal. Disabarkan hati sendiri.
            “Tiga perkara yang dibawa sampai mati iaitu amal jariah, ilmu yang berguna dan bermanfaat kepada orang lain dan doa anak yang soleh. Hah, doa anak yang soleh. Kau? Pijak tikar sembahyang pun susah!” Meninggi suara Kamsiah. Cakap dengan Haikal tidak boleh berlembut sangat, nanti sudahnya dia yang makan hati. Haikal bukan jenis dengar cakap. Ikut sedap kepala sendiri.
            “Alah, nanti aku berubahlah mak.” Haikal membalas.
            “Bila? Tunggu kiamat baru nak kejar pintu taubat?” sergah Kamsiah.
            “Mak kahwinkan aku dengan Ara, aku berubahlah nanti,” sahut Haikal. Melempar pandang ke arah Kamsiah.
            Kamsiah menggeleng kepala. “Kau tu, dikahwinkan dengan sesiapa pun, belum tentu berubah.” Kamsiah mendengus geram.
            “Betul lah mak. Mak kahwinkan aku dulu, lepas tu baru boleh tahu aku mampu berubah atau tak.” Seronok pula Haikal memutikkan kemarahan di hati Kamsiah. Bila dia nampak muka Kamsiah naik tegang, dia sembunyi ketawa.
            “Mak, aku ni satu-satunya anak mak. Mak tak mahu tengok aku bahagia ke?” Haikal berlembut tiba-tiba. Langkah pertama untuk memenangi kepercayaan Kamsiah.
            Kamsiah menepis tangan Haikal. Haikal ketawa.
            “Sebelum bermimpi nak orang bahagiakan hati kau tu, baik kau ambil langkah bahagiakan hati aku ni, mak kau,” tuntas Kamsiah.
            Galak Haikal ketawa. Dia mula berkira-kira hendak pergi dari situ.
            “Hah, nak ke mana tu?” tanya Kamsiah.
            “Sembahyang Asar,” jawab Haikal.
            Kamsiah berpeluk tubuh.
            “Asar apanya! Subuh Zohor pun ke laut, dah nak sembahyang Asar,” perli Kamsiah.
            Haikal menepuk dahi. Digerling jam dinding. Patutlah, baru pukul dua petang.
            “Aku nak sembahyang Zohor sebenarnya tadi. Tersasul,” ujar Haikal. Panjang sengihannya.
            Kamsiah mengerling ke arah Haikal. Perkara wajib begini pun dibawa main. Akhirnya Kamsiah menggeleng kepala. Teringat omongan Haikal berbaur jenaka tadi. Berubah selepas kahwin? Tapi Haikal itu sudah jadi buluh. Sukar dilentur. Lainlah sewaktu diri laksana rebung.
            Kamsiah menongkat dagu. Kalaulah dikahwinkan Haikal dan Humairah, siapa yang jaga siapa? Yakin, Humairah yang akan menjaga Haikal. Baik tak payah!

JANTUNG Humairah bagai hendak meloncat keluar dari tubuh sebaik ternampak susuk Haikal di dalam rumahnya. Terkebil-kebil memerhatikan Haikal yang duduk berbual bersama Rosnah. Entah apa yang dibualkan Haikal sehingga Rosnah ketawa senang hati. Humairah tidak senang hati. Enggan membiarkan Haikal berlakon baik depan Rosnah. Cepat melangkah mendekati Rosnah dan Haikal.
            “Haikal datang ni, Ara,” kata Rosnah ketika memandang ke arah Humairah.
            Humairah menarik otot mukanya, lalu membentuk sebuah senyuman yang tampak tidak ikhlas. Haikal tersengih-sengih sahaja. Manakala Rosnah memerhati tanpa sebarang syak. Fikirnya Humairah sudah berkawan baik dengan Haikal.
            “Dah petanglah. Kau pergi balik,” tutur Humairah, sedikit tegas.
            Rosnah membulatkan mata. Pantas tangannya menampar lembut peha Humairah.
            “Apa cakap macam tu? Haikal baru aje sampai. Takkanlah nak suruh dia balik,” kata Rosnah.
            “Maaf ya Haikal. Ara ni memang suka bergurau.” Rosnah menoleh ke arah Haikal pula.
            Tercebik-cebik bibir Humairah. Depan nenek, bolehlah dia tahan hati. Kalau tidak, makan caci maki petang-petang begini. Humairah mendongkol geram dalam hati. Apalah muslihat Haikal agaknya. Tidak pernah-pernah datang bertandang. Tiba-tiba tunjuk muka prihatin minta penampar. Humairah tidak memandang Haikal sedikit pun. Lupa yang Haikal menyelamatkannya malam kelmarin walau pada mulanya, lelaki itu memang berniat mengusiknya.
            Rosnah bertindak lebih kepada menjaga hati anak teruna Kamsiah itu. Kamsiah banyak membantunya. Rumah yang diduduki mereka ini milik Kamsiah. Kalau tidak kerana kebaikan Kamsiah, ke mana-mana sahajalah mereka dua beranak bergelandangan.
            “Ara, pergi buatkan air untuk Haikal,” pinta Rosnah.
            Mahu tidak mahu, diturutkan juga permintaan Rosnah. Dia menuju ke dapur. Tidak sedar langkahnya dibontoti Haikal.
            “Buat air tu biar sedap ye,” tegur Haikal.
            Humairah terperanjat.
            “Kau nak apa, hah?” bentak Humairah.
            “Saja nak tengok bakal isteri aku buat air untuk aku,” balas Haikal. Senyum menyeringai menampakkan dua gigi kacip yang tersembul keluar.
            Humairah memalingkan muka. Mengecil matanya melihat air dalam periuk yang mulai mendidih. Dalam kepala, rencana jahat sudah berputar ligat. Mahu diangkat periuk itu lalu dihumban ke muka Haikal. Biar air panas menggelegak itu membasahi muka tak tahu malu Haikal.
            “Kan aku dah cakap, aku tak mahu kahwin dengan kau.”
            “Tapi aku nak kahwin dengan kau!” tegas Haikal.
            “Aku lagi rela kahwin dengan orang gila daripada kahwin dengan manusia macam kau,” marah Humairah.
            Haikal mengetap bibir. Hina sangatkah dia? Pergelangan tangan Humairah dicengkam kuat. Humairah meronta kasar.
            “Aku tak akan lepaskan kau, Ara.”
            “Lepaslah!” Humairah membentak lagi.
            “Kau dengar sini!” Haikal memaut kasar dagu Humairah.
            “Kau akan ikut kemahuan aku sebab kau dan nenek kau tu terhutang budi dengan keluarga aku. Kau tak mahu, tapi nenek kau akan paksa kau terima aku. Kau ingat, kalau bukan mak aku tu baik hati tumpangkan kau dan nenek kau, kau dan nenek kau tu dah merempat, tahu!”
            Humairah kematian kata. Lidahnya bagai bersimpul-simpul. Hanya anak matanya yang bergerak-gerak merenung wajah bengis Haikal. Rontaannya turut terhenti.
            “Kau jangan terlalu berdegil Ara, sebab lelaki depan mata kau ni akan jadi suami kau nanti.” Haikal mengakhiri bicaranya dengan segaris senyuman sinis buat tatapan Humairah yang pegun tanpa bergerak seinci pun.

“KAN aku dah kata, aku tak mahu,” tegas Humairah. Dipaksa kaki melangkah laju menjauhi Hasnol yang mengejar dari belakang. Tidak menduga yang dia akan bertemu Hasnol di pekan sewaktu mencari ubat urut untuk Rosnah.
            “Sebab apa?” Hasnol menyoal. Segera menyaingi Humairah.
            “Sebab aku tak mahulah!” kata Humairah.
            Hasnol merentap lengan Humairah sehingga tubuh tinggi lampai Humairah terdorong ke belakang.
            “Apa ni?!” Humairah membentak. Menepis tangan kekar Hasnol yang mencengkam lengannya.
            “Kau nak kahwin dengan Haikal?” aju Hasnol.
            Terbeliak mata Humairah. Haikal? Hilang akal ke apa? Haikal dan Hasnol sama-sama spesis tak boleh pakai. Pantas Humairah menggeleng laju.
            “Habis tu, kenapa kau tak boleh terima aku sebagai suami kau?” Hasnol masih mendesak.
            Humairah mendegus geram. Tidakkah Hasnol sedar kedudukan dirinya? Dia bukan memandang harta atau pangkat, tetapi dia melihat peribadi orang itu. Haikal dan Hasnol tidak termasuk dalam senarai. Haikal kepala mereng. Hasnol pula kaki botol.
            “Aku tak mahu kahwin lagilah. Aku masih muda.” Humairah pamer muka tegang. Keningnya hampir bertemu. Kerutan di dahi jelas kelihatan.
            “Aku suka kau, Ara. Dari dulu lagi. Sebab tu aku tak kahwin-kahwin sampai sekarang.” Hasnol bertindak berani, mencapai tangan Humairah lalu cuba mengucupnya.
            Humairah tersentak. Ringan tangannya melayangkan penampar ke pipi Hasnol. Hasnol terpana. Berbirat pipinya terasa.
            “Kau!” Hasnol mengancing gigi.
            Hasnol menoleh bila merasakan ada tangan menepis perbuatannya yang cuba mengasari Humairah.
            “Apa ni brader? Nak pukul perempuan?” Fadzlan menghampiri Humairah.
            Humairah terkebil-kebil. Atas bawah dia perhati lelaki yang muncul tiba-tiba itu. Kemudian datang seorang lagi pemuda seusia lelaki tadi.
            “Kalau nak marah pun, janganlah sampai pukul-pukul,” celah Hakimi pula. Ekor matanya menyoroti Humairah yang dilindungi mereka berdua. Meski tidak memahami situasi tegang yang dilihat mereka tadi, mereka merasakan perlu membantu gadis itu.
            “Kau siapa, hah?” jerkah Hasnol. Merah padam mukanya menahan marah.
            “Kami ni manusia yang prihatin. Tak suka tengok orang main pukul-pukul ni.” Selamba Fadzlan berkata.
            “Kalau abang tak mahu rasa duduk lokap, baik abang pergi dari sini.” Lembut Fadzlan berbicara namun masih mengekalkan ketegasan iramanya.
            Hasnol mengepal penumbuk. Raut wajah dua pemuda asing itu melekat dalam kepala. Tidak mengapa. Hari esok masih ada. Dia tidak akan lepaskan Humairah. Hasnol memegang pipi. Sakit akibat tamparan itu masih terasa.
            Fadzlan dan Hakimi saling berpandangan. Kemudian dua pemuda itu berpaling ke belakang. Masing-masing mengerutkan dahi. Gadis tadi sudah hilang entah ke mana.
            “Eh, tak ada dah.” Fadzlan mengguman.
            “Entah-entah perempuan tadi ‘minah pet’ kot,” teka Hakimi.
            “Eh, kau ni. Tak beragak. Kita tengok dia tadi pun dah tahu yang dia kena kacau. Kalau kau kata lelaki tu ‘mat pet’, aku percaya,” tuntas Fadzlan.
            Hakimi ketawa gelihati. Asal perempuan aje, baik memanjang.
            “Kau memang. Bila perempuan, baik aje yang kau nampak,” seloroh Hakimi.
            Fadzlan tersengih.
            Pak Akob hairan melihat Humairah tercungap-cungap. Berkerut dahi orang tua itu.
            “Dah kenapa kau ni Ara? Kena kejar orang ke?” tanya Pak Akob.
            Humairah menggeleng kepala.
            “Taklah. Ara takut kena tinggal. Tu yang Ara pecut tu,” jawab Humairah.
            Pak Akob menggeleng kepala. “Kan Pak Akob kata, Pak Akob tunggu sini. Buat apalah sampai terkejar-kejar macam ni.”
            Panjang sengihan Humairah. Dia memboloskan diri masuk ke dalam kereta kancil yang dipandu Pak Akob.
            “Ara ada nak singgah ke mana-mana tak?” tanya Pak Akob lagi.
            Humairah menggeleng. “Terima kasih Pak Akob bawa Ara pergi pekan.”
            Pak Akob menghidupkan enjin kereta. Hujung bibir dihinggapi senyuman halus.
            “Bukan susah pun. Tu, dah betul ke ubat urut yang nenek kau suruh beli tu?” Pak Akob menjeling bekas plastik dalam tangan Humairah.
            “Betul dah.” Humairah menjawab sambil tersenyum.
            Sewaktu melintasi deretan premis perniagaan, ekor mata Humairah menangkap sesusuk tubuh manusia yang dikenalinya baru keluar dari pusat jualan nombor ekor. Hasnol sedang membelek beberapa helai kertas kecil ditangannya. Humairah hanya mampu menggeleng kepala. Hasnol kaki judi. Hasnol kaki nombor ekor. Hasnol juga kaki botol.
            Bila agaknya Hasnol akan berubah? Esok? Lusa? Tulat? Atau mungkin selamanya begitu? Na’uzubillah! Biarlah pintu hati Hasnol dibuka seluas-luasnya untuk bertaubat. Jangan sehingga hujung nyawa, keimanan itu masih belum mendasari hati.
            Humairah bersandar. Fikirannya menerewang jauh.
            Mati.
            Setiap manusia akan menghadapi kematian. Hanya tidak tahu bila, di mana dan bagaimana kematian itu datang menjemput.
            Jauh di sudut hati, Humairah merasakan kerinduannya terhadap arwah emak dan babah sangat menggunung. Dia masih terlalu muda ketika emak dan babah meninggal akibat kemalangan jalanraya lama dahulu. Bakti yang mampu dilaksanakan kini hanyalah mengirim doa agar kedua ibubapanya dirahmati dan di tempatkan dikalangan manusia yang beriman kepada-Nya.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Eh-eh, rajin pulak kau nak update kannn walhal bukan main lagi minggu lepas letak nota tersepit, tak akan ada entri baru. Muahihihi :3 Happy happy reading guys. Mana ada koyak rabak sana-sini, maaf ya. Kite budak baru belajar menulis :)

2 comments:

AYRA ZAHRA said...

ehem ehem ehem..Fadzlan udah keluar..Jeng jeng jeng..:D

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Ayra Zahra

:) Oh yeahhhh.. Lanlan. Ekekeke