"...When you realise you cannot have everything you want, you've understood the nature of dunya. When you realise that you can have everything you love or desire, you've understood the nature of Jannah..." - Yasmin Mogahed
KAMSIAH pening kepala. Hampir saban waktu dia
dilempar permintaan Haikal yang mahu memperisterikan Humairah. Sampai sakit
kepala dia memikirkan permintaan Haikal yang tidak masuk akal.
Diikutkan
hati, dia memang setuju sangat andai Humairah menjadi menantunya. Tetapi bila
mengenangkan anak lelakinya sendiri, dia geleng kepala. Mampukah Haikal menggalas
tanggungjawab sebagai suami yang membimbing isteri ke jalan yang direhai Allah?
Yang wajib pun lintang-pukang, apatah lagi yang harus dan sunat bagai. Kamsiah
memicit dahi. Haikal, Haikal. Kalaulah empunya diri berlawanan sikap dan
peribadinya, pasti awal-awal lagi dia pinangkan Humairah untuk Haikal. Ini...
Kamsiah menghela nafas.
Kamsiah
menjenguk ke luar tingkap. Kelihatan Haikal sedang memarkir motosikalnya di
bawah sepohon pokok rendang di depan rumah. Setelah itu, Haikal mula menapak
menghampiri rumah pusaka keluarga arwah suaminya. Kamsiah segera bangun dan
melenggang ke dapur. Baru pijak lantai beralas tikar getah berwarna coklat itu,
Haikal sudah terpacak depan mata. Dipandang wajah Haikal tidak berkelip mata.
“Kau
ni!” Kamsiah memukul badan Haikal. Nyaris gugur jantungnya.
Haikal
ketawa mengekek. Dia labuh duduk di kerusi. Menunggu Kamsiah menghidang makan
untuknya.
“Cepatlah
mak. Aku lapar!” gesa Haikal.
Tergeleng-geleng
kepala Kamsiah. Nasi panas diceduk masuk ke dalam pinggan leper di atas meja.
Kemudian dia tolak pinggan itu ke arah Haikal. Haikal tersenyum menyeringai.
Lekas menyuap nasi putih ke dalam mulut. Sebelah tangan memegang sudu lalu
menceduk kuah kari ayam dan dituang ke atas nasinya. Gaya Haikal persis orang
kebulur.
Kamsiah
memerhatikan tingkah anak bujangnya. Melihat Haikal, dia terfikir, di mana
silap dia mendidik Haikal. Hendak kata tidak dihantar ke sekolah agama, mereka
suami isteri hantar Haikal belajar agama. Cukup lengkap. Sekolah untuk ilmu
duniawi, juga dihantar pergi. Kamsiah duduk bertentangan Haikal yang masih
rakus menjamu selera.
“Haikal,
kau tak mahu berubah ke?” Ringan mulut
Kamsiah bertanya.
Sekelipan,
Haikal berhenti menyuap nasi. Mendongak memandang Kamsiah yang merenunginya.
Haikal mengesat hujung bibir sendiri. Kemudian capai segelas air sejuk yang
tersedia depan mata.
“Nak
berubah apanya, mak?” Haikal memulangkan pertanyaan. Diteguk air sejuk itu.
“Cuba
kau tengok diri kau tu.” Muncung bibir Kamsiah menghala ke arah Haikal.
Haikal
mengerutkan dahi. Hampir bertemu kedua keningnya. Dia pandang diri sendiri.
Dari dulu sampai sekarang, sama aje. Tiada yang kurang pun. Haikal kembali
memandang Kamsiah.
“Sempurna
aje aku ni mak,” jawab Haikal.
Kamsiah
menghela nafas panjang. Pendek akal betul, gerutunya dalam hati.
“Mak
tahu kau tu memang sempurna. Tuhan jadikan kau cukup sifat. Tapi roh kau tu tak
sempurna. Cacat sana sini. Kurus kering, tak macam tuan badannya ni,” kata
Kamsiah.
Haikal
buat tidak dengar. Kamsiah selalu berlagak bagai ustazah. Kerap sangat membebel
itu ini. Sudahnya, telinga sendiri naik lebar. Naik bernanah. Lantas, dia
cepat-cepat menghabiskan nasi. Hendak tambah nasi pun, dia fikir dua tiga kali.
Makin lama memaku diri depan Kamsiah, makin tebal cuping telinga.
“Cuba
bawa-bawa berubah, Kal. Kau tak kasihan ke pada abah kau dalam kubur sana?
Cubalah doakan kesejahteraan abah kau tu. Ini tidak, jangankan kata doa, ziarah
kubur abah pun kau liat, kan? Apalah nak jadi dengan kau ni.” Kamsiah terus
membebel. Selagi Haikal ada depan mata, selagi itulah mulutnya terkumat-kamit
bagai machine gun. Melontar apa sahaja yang terlintas di kepala.
“Doa
mak seorang kan cukup,” pintas Haikal.
Mencerlung
renungan Kamsiah kepada Haikal. Disabarkan hati sendiri.
“Tiga
perkara yang dibawa sampai mati iaitu amal jariah, ilmu yang berguna dan
bermanfaat kepada orang lain dan doa anak yang soleh. Hah, doa anak yang soleh.
Kau? Pijak tikar sembahyang pun susah!” Meninggi suara Kamsiah. Cakap dengan
Haikal tidak boleh berlembut sangat, nanti sudahnya dia yang makan hati. Haikal
bukan jenis dengar cakap. Ikut sedap kepala sendiri.
“Alah,
nanti aku berubahlah mak.” Haikal membalas.
“Bila?
Tunggu kiamat baru nak kejar pintu taubat?” sergah Kamsiah.
“Mak
kahwinkan aku dengan Ara, aku berubahlah nanti,” sahut Haikal. Melempar pandang
ke arah Kamsiah.
Kamsiah
menggeleng kepala. “Kau tu, dikahwinkan dengan sesiapa pun, belum tentu
berubah.” Kamsiah mendengus geram.
“Betul
lah mak. Mak kahwinkan aku dulu, lepas tu baru boleh tahu aku mampu berubah
atau tak.” Seronok pula Haikal memutikkan kemarahan di hati Kamsiah. Bila dia
nampak muka Kamsiah naik tegang, dia sembunyi ketawa.
“Mak,
aku ni satu-satunya anak mak. Mak tak mahu tengok aku bahagia ke?” Haikal
berlembut tiba-tiba. Langkah pertama untuk memenangi kepercayaan Kamsiah.
Kamsiah
menepis tangan Haikal. Haikal ketawa.
“Sebelum
bermimpi nak orang bahagiakan hati kau tu, baik kau ambil langkah bahagiakan
hati aku ni, mak kau,” tuntas Kamsiah.
Galak
Haikal ketawa. Dia mula berkira-kira hendak pergi dari situ.
“Hah,
nak ke mana tu?” tanya Kamsiah.
“Sembahyang
Asar,” jawab Haikal.
Kamsiah
berpeluk tubuh.
“Asar
apanya! Subuh Zohor pun ke laut, dah nak sembahyang Asar,” perli Kamsiah.
Haikal
menepuk dahi. Digerling jam dinding. Patutlah, baru pukul dua petang.
“Aku
nak sembahyang Zohor sebenarnya tadi. Tersasul,” ujar Haikal. Panjang
sengihannya.
Kamsiah
mengerling ke arah Haikal. Perkara wajib begini pun dibawa main. Akhirnya
Kamsiah menggeleng kepala. Teringat omongan Haikal berbaur jenaka tadi. Berubah
selepas kahwin? Tapi Haikal itu sudah jadi buluh. Sukar dilentur. Lainlah
sewaktu diri laksana rebung.
Kamsiah
menongkat dagu. Kalaulah dikahwinkan Haikal dan Humairah, siapa yang jaga
siapa? Yakin, Humairah yang akan menjaga Haikal. Baik tak payah!
JANTUNG Humairah bagai hendak meloncat keluar
dari tubuh sebaik ternampak susuk Haikal di dalam rumahnya. Terkebil-kebil
memerhatikan Haikal yang duduk berbual bersama Rosnah. Entah apa yang dibualkan
Haikal sehingga Rosnah ketawa senang hati. Humairah tidak senang hati. Enggan
membiarkan Haikal berlakon baik depan Rosnah. Cepat melangkah mendekati Rosnah
dan Haikal.
“Haikal
datang ni, Ara,” kata Rosnah ketika memandang ke arah Humairah.
Humairah
menarik otot mukanya, lalu membentuk sebuah senyuman yang tampak tidak ikhlas.
Haikal tersengih-sengih sahaja. Manakala Rosnah memerhati tanpa sebarang syak.
Fikirnya Humairah sudah berkawan baik dengan Haikal.
“Dah
petanglah. Kau pergi balik,” tutur Humairah, sedikit tegas.
Rosnah
membulatkan mata. Pantas tangannya menampar lembut peha Humairah.
“Apa
cakap macam tu? Haikal baru aje sampai. Takkanlah nak suruh dia balik,” kata
Rosnah.
“Maaf
ya Haikal. Ara ni memang suka bergurau.” Rosnah menoleh ke arah Haikal pula.
Tercebik-cebik
bibir Humairah. Depan nenek, bolehlah dia tahan hati. Kalau tidak, makan caci
maki petang-petang begini. Humairah mendongkol geram dalam hati. Apalah
muslihat Haikal agaknya. Tidak pernah-pernah datang bertandang. Tiba-tiba
tunjuk muka prihatin minta penampar. Humairah tidak memandang Haikal sedikit
pun. Lupa yang Haikal menyelamatkannya malam kelmarin walau pada mulanya,
lelaki itu memang berniat mengusiknya.
Rosnah
bertindak lebih kepada menjaga hati anak teruna Kamsiah itu. Kamsiah banyak
membantunya. Rumah yang diduduki mereka ini milik Kamsiah. Kalau tidak kerana
kebaikan Kamsiah, ke mana-mana sahajalah mereka dua beranak bergelandangan.
“Ara,
pergi buatkan air untuk Haikal,” pinta Rosnah.
Mahu
tidak mahu, diturutkan juga permintaan Rosnah. Dia menuju ke dapur. Tidak sedar
langkahnya dibontoti Haikal.
“Buat
air tu biar sedap ye,” tegur Haikal.
Humairah
terperanjat.
“Kau
nak apa, hah?” bentak Humairah.
“Saja
nak tengok bakal isteri aku buat air untuk aku,” balas Haikal. Senyum
menyeringai menampakkan dua gigi kacip yang tersembul keluar.
Humairah
memalingkan muka. Mengecil matanya melihat air dalam periuk yang mulai
mendidih. Dalam kepala, rencana jahat sudah berputar ligat. Mahu diangkat
periuk itu lalu dihumban ke muka Haikal. Biar air panas menggelegak itu
membasahi muka tak tahu malu Haikal.
“Kan
aku dah cakap, aku tak mahu kahwin dengan kau.”
“Tapi
aku nak kahwin dengan kau!” tegas Haikal.
“Aku
lagi rela kahwin dengan orang gila daripada kahwin dengan manusia macam kau,”
marah Humairah.
Haikal
mengetap bibir. Hina sangatkah dia? Pergelangan tangan Humairah dicengkam kuat.
Humairah meronta kasar.
“Aku
tak akan lepaskan kau, Ara.”
“Lepaslah!”
Humairah membentak lagi.
“Kau
dengar sini!” Haikal memaut kasar dagu Humairah.
“Kau
akan ikut kemahuan aku sebab kau dan nenek kau tu terhutang budi dengan
keluarga aku. Kau tak mahu, tapi nenek kau akan paksa kau terima aku. Kau
ingat, kalau bukan mak aku tu baik hati tumpangkan kau dan nenek kau, kau dan
nenek kau tu dah merempat, tahu!”
Humairah
kematian kata. Lidahnya bagai bersimpul-simpul. Hanya anak matanya yang
bergerak-gerak merenung wajah bengis Haikal. Rontaannya turut terhenti.
“Kau
jangan terlalu berdegil Ara, sebab lelaki depan mata kau ni akan jadi suami kau
nanti.” Haikal mengakhiri bicaranya dengan segaris senyuman sinis buat tatapan
Humairah yang pegun tanpa bergerak seinci pun.
“KAN aku dah kata, aku tak mahu,” tegas
Humairah. Dipaksa kaki melangkah laju menjauhi Hasnol yang mengejar dari
belakang. Tidak menduga yang dia akan bertemu Hasnol di pekan sewaktu mencari
ubat urut untuk Rosnah.
“Sebab
apa?” Hasnol menyoal. Segera menyaingi Humairah.
“Sebab
aku tak mahulah!” kata Humairah.
Hasnol
merentap lengan Humairah sehingga tubuh tinggi lampai Humairah terdorong ke
belakang.
“Apa
ni?!” Humairah membentak. Menepis tangan kekar Hasnol yang mencengkam
lengannya.
“Kau
nak kahwin dengan Haikal?” aju Hasnol.
Terbeliak
mata Humairah. Haikal? Hilang akal ke apa? Haikal dan Hasnol sama-sama spesis
tak boleh pakai. Pantas Humairah menggeleng laju.
“Habis
tu, kenapa kau tak boleh terima aku sebagai suami kau?” Hasnol masih mendesak.
Humairah
mendegus geram. Tidakkah Hasnol sedar kedudukan dirinya? Dia bukan memandang
harta atau pangkat, tetapi dia melihat peribadi orang itu. Haikal dan Hasnol
tidak termasuk dalam senarai. Haikal kepala mereng. Hasnol pula kaki botol.
“Aku
tak mahu kahwin lagilah. Aku masih muda.” Humairah pamer muka tegang. Keningnya
hampir bertemu. Kerutan di dahi jelas kelihatan.
“Aku
suka kau, Ara. Dari dulu lagi. Sebab tu aku tak kahwin-kahwin sampai sekarang.”
Hasnol bertindak berani, mencapai tangan Humairah lalu cuba mengucupnya.
Humairah
tersentak. Ringan tangannya melayangkan penampar ke pipi Hasnol. Hasnol
terpana. Berbirat pipinya terasa.
“Kau!”
Hasnol mengancing gigi.
Hasnol
menoleh bila merasakan ada tangan menepis perbuatannya yang cuba mengasari
Humairah.
“Apa
ni brader? Nak pukul perempuan?” Fadzlan menghampiri Humairah.
Humairah
terkebil-kebil. Atas bawah dia perhati lelaki yang muncul tiba-tiba itu.
Kemudian datang seorang lagi pemuda seusia lelaki tadi.
“Kalau
nak marah pun, janganlah sampai pukul-pukul,” celah Hakimi pula. Ekor matanya
menyoroti Humairah yang dilindungi mereka berdua. Meski tidak memahami situasi
tegang yang dilihat mereka tadi, mereka merasakan perlu membantu gadis itu.
“Kau
siapa, hah?” jerkah Hasnol. Merah padam mukanya menahan marah.
“Kami
ni manusia yang prihatin. Tak suka tengok orang main pukul-pukul ni.” Selamba
Fadzlan berkata.
“Kalau
abang tak mahu rasa duduk lokap, baik abang pergi dari sini.” Lembut Fadzlan
berbicara namun masih mengekalkan ketegasan iramanya.
Hasnol
mengepal penumbuk. Raut wajah dua pemuda asing itu melekat dalam kepala. Tidak
mengapa. Hari esok masih ada. Dia tidak akan lepaskan Humairah. Hasnol memegang
pipi. Sakit akibat tamparan itu masih terasa.
Fadzlan
dan Hakimi saling berpandangan. Kemudian dua pemuda itu berpaling ke belakang.
Masing-masing mengerutkan dahi. Gadis tadi sudah hilang entah ke mana.
“Eh,
tak ada dah.” Fadzlan mengguman.
“Entah-entah
perempuan tadi ‘minah pet’ kot,” teka Hakimi.
“Eh,
kau ni. Tak beragak. Kita tengok dia tadi pun dah tahu yang dia kena kacau.
Kalau kau kata lelaki tu ‘mat pet’, aku percaya,” tuntas Fadzlan.
Hakimi
ketawa gelihati. Asal perempuan aje, baik memanjang.
“Kau
memang. Bila perempuan, baik aje yang kau nampak,” seloroh Hakimi.
Fadzlan
tersengih.
Pak
Akob hairan melihat Humairah tercungap-cungap. Berkerut dahi orang tua itu.
“Dah
kenapa kau ni Ara? Kena kejar orang ke?” tanya Pak Akob.
Humairah
menggeleng kepala.
“Taklah.
Ara takut kena tinggal. Tu yang Ara pecut tu,” jawab Humairah.
Pak
Akob menggeleng kepala. “Kan Pak Akob kata, Pak Akob tunggu sini. Buat apalah
sampai terkejar-kejar macam ni.”
Panjang
sengihan Humairah. Dia memboloskan diri masuk ke dalam kereta kancil yang
dipandu Pak Akob.
“Ara
ada nak singgah ke mana-mana tak?” tanya Pak Akob lagi.
Humairah
menggeleng. “Terima kasih Pak Akob bawa Ara pergi pekan.”
Pak
Akob menghidupkan enjin kereta. Hujung bibir dihinggapi senyuman halus.
“Bukan
susah pun. Tu, dah betul ke ubat urut yang nenek kau suruh beli tu?” Pak Akob
menjeling bekas plastik dalam tangan Humairah.
“Betul
dah.” Humairah menjawab sambil tersenyum.
Sewaktu
melintasi deretan premis perniagaan, ekor mata Humairah menangkap sesusuk tubuh
manusia yang dikenalinya baru keluar dari pusat jualan nombor ekor. Hasnol
sedang membelek beberapa helai kertas kecil ditangannya. Humairah hanya mampu
menggeleng kepala. Hasnol kaki judi. Hasnol kaki nombor ekor. Hasnol juga kaki
botol.
Bila
agaknya Hasnol akan berubah? Esok? Lusa? Tulat? Atau mungkin selamanya begitu?
Na’uzubillah! Biarlah pintu hati Hasnol dibuka seluas-luasnya untuk bertaubat.
Jangan sehingga hujung nyawa, keimanan itu masih belum mendasari hati.
Humairah
bersandar. Fikirannya menerewang jauh.
Mati.
Setiap
manusia akan menghadapi kematian. Hanya tidak tahu bila, di mana dan bagaimana
kematian itu datang menjemput.
Jauh
di sudut hati, Humairah merasakan kerinduannya terhadap arwah emak dan babah
sangat menggunung. Dia masih terlalu muda ketika emak dan babah meninggal
akibat kemalangan jalanraya lama dahulu. Bakti yang mampu dilaksanakan kini
hanyalah mengirim doa agar kedua ibubapanya dirahmati dan di tempatkan
dikalangan manusia yang beriman kepada-Nya.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Eh-eh, rajin pulak kau nak update kannn walhal bukan main lagi minggu lepas letak nota tersepit, tak akan ada entri baru. Muahihihi :3 Happy happy reading guys. Mana ada koyak rabak sana-sini, maaf ya. Kite budak baru belajar menulis :)
2 comments:
ehem ehem ehem..Fadzlan udah keluar..Jeng jeng jeng..:D
@Ayra Zahra
:) Oh yeahhhh.. Lanlan. Ekekeke
Post a Comment