Tuesday, May 28, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 14.

Assalamualaikum.








"...The Prophet Muhammad said, a Muslim is the one who avoids harming Muslims with his tongue and hands..."









Bab 14
FADZLAN menghempas kasar tubuhnya di atas katil. Bengkak hati tiba-tiba bila mengenangkan hak yang selama ini menjadi kepunyaannya sudah bertukar tangan. Kenapa mesti diberi kepada manusia itu? Apakah manusia itu punya kelebihan di dalam rumah ini? Bilik itu menyimpan pelbagai kenangan yang akan abadi dalam ingatan sampai bila-bila. Tetapi keadaan berbeda saat ini. Segalanya sudah berubah dan dia tidak suka akan perubahan itu.
            Fadzlan meraup mukanya. Bila terpandangkan wajah Humairah, terus darahnya naik sampai ke kepala. Marahnya tidak dapat ditahan-tahan. Oleh sebab itu dia menonong turun ke tingkat bawah. Menghirup udara yang lebih segar. Sekurang-kurangnya, amarah itu tidak terus mengalir ke segenap urat-nadi sampai dia boleh hilang kewarasan diri.
            Pintu bilik diketuk berkali-kali berserta laungan namanya. Suara Afina mencecah jendela telinga. Fadzlan bingkas bangun. Dia duduk sambil menekup muka. Lambat-lambat dia jalan menuju ke pintu. Tombol pintu dipulas dan pintu dikuak luas. Muka Afina ditatapnya terlebih dahulu.
            “Lan, mari makan,” ajak Afina.
            Fadzlan menggeleng. Seleranya langsung mati bila nampak Humairah depan mata. Keterujaan menikmati air tangan nenek terbang melayang entah ke mana-mana.
            “Nenek masak makanan kegemaran kau tu, Lan. Kau tak kasihankan nenek? Bersusah-payah orang tua tu masak semata-mata nak bagi kau makan.” Afina mula mengeluarkan kata-kata berunsur paksaan.
            Fadzlan tidak menghiraukan Afina. Dia mengatur langkah ke katil dan labuh duduk semula di situ. Afina menarik nafas. Memang sudah diagak situasi ini akan berlaku. Kemarahan Fadzlan bukan kerana biliknya telah digunakan Humairah dan kini menjadi milik Humairah, tetapi kemarahan Fadzlan itu berpunca daripada kewujudan Humairah di dalam rumah mereka.
            “Lan...” Afina menegur.
            Fadzlan merenung lantai.
            “Kenapa dia ada lagi dalam rumah ni?” bentak Fadzlan.
            “Dia tak ada sesiapa, Lan.”
            “Habis, kita ni ada sesiapa ke?”
            “Kita masih ada nenek,” jawab Afina dengan tenang.
            Fadzlan mendegus kasar. Afina tidak pernah tahu, penderitaan yang dialaminya masih lagi berparut. Empat tahun belum cukup untuk merawat, sekaligus menghilangkan ingatan itu. Fadzlan menguak anak rambut sampai ke ubun-ubun.
            Fadzlan menoleh. Melorong anak mata tepat ke wajah Afina. Kelembutan wajah kakaknya itu mengingatkan dia kepada arwah ibunya, Engku Humairah. Dia segera paling muka bila merasakan dada dirundung kehibaan.
            “Kau tak rasa ke apa yang aku rasa, kak?” Fadzlan bertanya. Hujung kaki menguis karpet lembut yang terbentang atas lantai bermozek.
            Afina menggengam tangan Fadzlan dan berkata, “Akak rasa apa yang Lan rasa, tapi akak sedar, semua ni bukan salah Humairah. Dah takdir tertulis macam tu. Apa yang boleh kita buat, Lan. Sebagai manusia yang lemah, yang tak punya apa-apa, kita hanya mampu redha.”
            “Aku bukan hanya kehilangan ibu dan ayah, tapi aku juga kehilangan Rose.” Fadzlan menepuk dadanya sendiri dengan kuat. Luka hatinya masih belum pulih sepenuhnya.
            Perasaan Afina dipagut kehibaan. Dia menarik Fadzlan ke dalam pelukan.
            Empat tahun belum cukup untuk memadamkan episod duka dalam lipatan hidup mereka.

SUASANA di ruang makan terasa dingin. Masing-masing mendiamkan diri. Fadzlan hanya menjamah sedikit sahaja makanan yang diisi ke dalam pinggan, selepas itu dia menguis nasi dengan hujung sudu dan garfu.
            Afina memerhatikan tingkah Fadzlan sebelum ekor matanya melorong ke arah Humairah yang duduk bersetentang dengannya. Humairah pun kena jangkitan kurang nafsu makan macam Fadzlan. Nasi itu dikuis-kuis sahaja. Afina tarik nafas. Kemudian dia pandang Engku Zubaidah. Engku Zubaidah juga sama. Afina garu kepala sendiri. Apalah nak jadi dengan keluarga mereka? Mana hingar-bingar dan gelak tawa semua orang? Semua membeku macam ais. Suasana sedingin salju.
            “Lan, kau makan ke berangan?” tegur Afina. Suaranya sengaja ditinggikan.
            Fadzlan tidak membalas teguran Afina, sebaliknya dia meletak sudu dan garfu. Segera dia bangkit dari kerusi kayu dan sudah bersedia hendak melangkah pergi meninggalkan ruang makan itu.
            “Lan nak ke mana?” Engku Zubaidah bersuara akhirnya.
            Fadzlan menoleh sekilas. Waktu itu Humairah turut memerhatikannya.
            “Lan dah kenyang dah nek,” jawab Fadzlan. Tanpa menunggu lebih lama, Fadzlan angkat kaki dan terus mengurung diri di dalam bilik.
            Engku Zubaidah mengeluh berat. Bukan ini yang diharapkannya. Selera dia ikut mati. Kenyang walau hanya menyua nasi dua tiga suap ke dalam mulut.
            “Fina, nanti tolong kemaskan meja ni ya. Lauk-lauk ni semua simpan dalam peti. Esok boleh panaskan buat makan tengahari,” ujar Engku Zubaidah.
            “Nenek...” Afina memanggil.
            “Nenek nak berehat.” Engku Zubaidah berlalu pergi. Menghilang disebalik dinding.
            Afina termangu melihat situasi depan mata. Fadzlan dengan anginnya. Nenek dengan tingkahnya. Tersorot mata Afina kepada Humairah. Gadis itu turut hilang selera makan.
            “Mai nak makan lagi?” Afina bertanya.
            Humairah menggeleng kepala.
            “Kalau macam tu, Kak Fina nak simpan semua makanan ni.” Afina mula lincah mengemas meja makan. Humairah turut membantu. Dia masuk ke dapur memasak dan keluar bersama beberapa bekas plastik lalu diberikan kepada Afina. Afina memasukkan makanan-makanan itu ke dalam bekas-bekas plastik tersebut sebelum disimpan ke dalam peti.

FADZLAN tidak pernah melayani dia dengan baik. Lelaki itu tidak pernah sekali pun menutur bicara lembut dengannya. Dia sering dibentak-bentak dan kehadirannya seolah-olah tidak disenangi oleh Fadzlan.
            Puas dia berfikir, di mana silap dia. Apa yang telah dilakukannya sehingga Fadzlan begitu marah dan seakan membenci dia? Bukankah hubungan kekeluargaan yang terbina antara mereka itu seharusnya dilimpahi kemesraan, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
            Dengar cerita dari nenek petang tadi, Fadzlan akan kembali menetap di bumi Malaysia. Alamatnya, dia terpaksa berdepan singa lapar itu setiap hari. Itupun kalau lelaki itu sudi tinggal sebumbung dengan dia. Atau dia yang patut angkut beg dan segala barang pindah rumah? Kalau hendak pindah, ke mana dia harus pergi? Humairah bersandar di kepala katil. Sebelah tangan dijadikan alas kepala.
            Humairah tidak tahu celah mana lagi dia harus mencari kesalahan yang pernah dia lakukan tanpa sengaja atau disengajakan sebelum ini. Sakit kepala memikir. Humairah baring terlentang. Memaku mata ke arah kipas yang berpusing perlahan.
            Sedang asyik memaksa diri mencari kesilapan diri, tiba-tiba fikiran Humairah dibayangi sesuatu yang asing. Menerobos ruang waktu yang menerjah ke angkasa minda. Imbasan itu laksana pancaran halilintar. Sedetik waktu terus hilang.
            Humairah terbejat. Terus bangkit dan duduk berteleku. Fikirannya jadi kosong tiba-tiba. Imbasan itu tidak melekat di kepala.
            “Ara...”
            Bibir Humairah bergerak-gerak menyebut nama itu. Ara? Imbasan yang sedetik cuma itu tadi diiringi dengan suara hati yang tiba-tiba memacukan nama itu ke telinga.
            Berkerut-kerut dahi Humairah.
            Kenapa nama itu yang menjadi mainan mulutnya?

“ARA!”
            Lantang suara Rosnah memecahkan kesunyian malam. Spontan, Rosnah duduk. Dada yang berdetak kencang itu diusap perlahan. Sakit. Rosnah mengengsot ke belakang dan bersandar di kepala katil. Peluh-peluh halus yang muncul membasahi dahi dikesat menggunakan hujung lengan. Nafas ditarik dalam-dalam. Ditenangkan hati sendiri agar denyutan jantung tidak sederas tadi.
            “Nek.” Suara garau itu menegur Rosnah penuh kerisauan. Haikal terus berlari mendapatkan Rosnah. Dia berteleku di sisi katil.
            Rosnah melempar pandang ke arah Haikal.
            “Kenapa nek?” tanya Haikal keresahan.
            Rosnah menggeleng kepala. Segelas air kosong dihulur Haikal disambutnya. Hujung bibir mencecah gelas kaca itu. Dia hirup sedikit air kosong, membasahkan tekak yang terasa kering. Kemudian memberi gelas itu semula kepada Haikal.
            Haikal lekas memicit lengan Rosnah. Sebenarnya tadi dia baru hendak melelapkan mata. Tiba-tiba terdengar suara Rosnah menjerit lantang. Apa lagi, dia terus terjun dari katil dan bergegas mendapatkan Rosnah. Hampir-hampir dia jatuh tergolek atas lantai.
            “Nenek sakit dada ke?” Haikal bertanya lagi.
            Rosnah menoleh. Renungannya terpacak tepat ke wajah Haikal.
            “Nenek mimpikan Ara,” beritahu Rosnah.
            Serta-merta, tarian jemari Haikal mengurut tangan Rosnah terus berhenti. Bola matanya bergerak-gerak menekur lantai.
            “Muka Ara sedih sangat. Dia pandang nenek aje. Tak cakap apa-apa. Lepas tu, dia pergi tinggalkan nenek. Nenek jerit nama dia. Nenek panggil dia tapi dia tak pandang nenek. Dia terus menghilang depan mata nenek.” Rosnah bercerita dengan perasaan hiba. Airmata ditahan-tahan daripada tumpah.
            “Nenek rindukan dia.” Kali ini airmata Rosnah benar-benar tiada tertahan. Langsung jatuh berjuraian membasahi pipi yang yang berkedut. Dada kembali berdetak deras sehingga menerbitkan rasa sakit.
            “Nenek rindukan Humairah.” Rosnah merintih lagi.  Tangannya mencengkam lengan Haikal.
Haikal tidak tahu bagaimana hendak memujuk Rosnah. Apa yang mampu terungkap di bibir hanyalah meminta Rosnah bersabar. Haikal memanjat katil. Airmata itu disekanya. Esak tangis dan kesedihan Rosnah sudah sebati dengan dirinya.
            “Humairah... Humairah cucu nenek.” Mengogoi tangisan Rosnah. Sekeping gambar diambil dari celah bantal. Gambar yang mengabadikan wajah Humairah itu ditatap lama. Kemudian dibawa ke dalam dakapan.
            Humairah. Suara hati melantunkan nama seorang gadis yang pernah mendapat tempat dalam hatinya. Seorang gadis yang mendorong dia untuk berubah dan akhirnya perubahan itu dilakukan dengan sepenuh hati.
Haikal sekadar memerhatikan Rosnah yang berendam kesedihan dan kepedihan. Dia turut merasai kepedihan itu, malah lebih teruk. Setiap kali fikiran menyusuri detik yang telah berlalu itu, dia dihimpit pelbagai perasaan. Amarah, benci, sakit, sedih, kecewa- semua bersatu menjadi mata busur tajam yang menikam tepat ke jantung.

“MEMALUKAN orang kampung kau ni!”
            “Perogol!”
            “Pukul dia. Dasar manusia bertuankan syaitan!”
            “Esok lusa entah anak siapa pulak dirogolnya.”
            Haikal terbaring di atas tanah. Merengkok tubuhnya dengan kesakitan yang maha dahsyat. Cecair merah terasa hangat membasahi kepala dan mukanya. Dia sudah tidak punya daya hendak menjauhi sekumpulan manusia yang berkerumun di sekelilingnya.
            “Kita pukul dia bagi mati!” Salah seorang manusia yang ikut menyepak terajang dia tadi bersuara, mengapi-apikan orang-orang yang ada di situ. Waktu itu, Haikal menyerah diri sahaja.
            “Ya! Betul tu. Jangan biarkan perogol macam dia ni hidup di muka bumi ni.” Sahut suara yang lain pula.
            Terpejam-pejam mata Haikal. Dia tidak mampu melihat siapakah manusia yang melontar kata-kata sebegitu kepadanya. Namun halwa telinga dapat meneka gerangan makhluk Tuhan itu.
            “Celaka kau!”
            Sepakan dan tendangan itu kembali hinggap ke tubuh Haikal. Haikal menjerit kesakitan tetapi tiada siapa pun yang peduli.
            Ting! Ting! Ting!
            Detingan jam menyedarkan Haikal yang kembali menyusuri kisah lalu. Haikal meraup muka. Kemudian memandang jam bertelinga bulat yang baru menginjak ke angka tiga pagi.
            Haikal tidak boleh tidur. Matanya terbuntang segar.
            Ah, kesakitan malam itu bagai baru semalam singgah dalam hidupnya. Haikal menghela nafas panjang. Kemudian dia beristigfar dalam hati. Perlahan-lahan, dia menjulur kaki memijak lantai. Duduk termangu seketika di situ sebelum angkat kaki keluar dari biliknya dan menuju ke bilik air yang terletak berhampiran ruang dapur.
            Sesudah mengambil wuduk, Haikal kembali semula ke biliknya. Sempat menjengah kepala ke dalam bilik Rosnah. Dilihatnya Rosnah sedang tidur. Haikal ukir senyum lega. Mudah-mudahan Rosnah tidak bermimpi yang bukan-bukan.
            Haikal menarik sejadah dari sampiran besi. Dihampar sejadah berwarna merah itu di atas lantai. Demi menenangkan hati, adalah lebih baik dia isi masa celiknya dengan melakukan ibadah sunat. Setidak-tidaknya, sedikit beban dan kedukaan ini mampu dikurangkan. Rintihan yang selama ini tidak sampai kepada orang lain, hanya diperdengarkan rintihannya itu kepada Yang Maha Agung. Meminjam sedikit kekuatan untuk menghadapi liku-liku hidup yang masih panjang.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Korang, sorry kalau entri KPHM Bab 13 mengelirukan korang yang membaca. Plot memang disusun macam tu teehee. Eh, dalam aku belek-belek folder nan berlambak dalam pc, tengok gambar lama dengan kengkawan, terus rasa rindu menusuk ke kalbu. Setiap kenangan itu begitu berharga. Ewah, dah macam iklan kecantikan pulakkkss. 

4 comments:

Eijan said...

Mmg keliru sikit...tiba2 plot lain sgt...x tau apa jadi pd humaira dan Haika

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ eijan

so sorry -..-" ni yg rasa nak tukar plot jadik follow the flow ni. huhu. maaf eh -..-'

Anonymous said...

belitnye mcm mn nk dpt entry yg sebetulnye

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Anon

Hi :) Ramai yg pening. Kite pon jadik pening pikir org pening. Hihi. Actually, KPHM taklah berbelit, cuma cuba twist sikit penggunaan masa. Konon2 nye laa. Hihi.

BTW, tq sgt drop comment. Kita perbaiki mn yg berselirat tu :)