Wednesday, June 5, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 16.

Assalamualaikum.








"...There is reward for kindness to every living thing..."










Bab 16
ATAS permintaan Engku Zubaidah, maka Fadzlan terpaksa menangguhkan perpindahannya ke rumah sewa Hakimi. Demi menjaga hati nenek, dia turuti juga permintaan nenek yang satu itu. Penangguhan itu bukanlah sekejap waktu. Mencecah seminggu lamanya. Mulanya dia hendak membantah, tetapi bila memikirkan kata-kata Afina lewat malam kelmarin, dia putuskan angin sendiri. Afina meminta dia jaga hati nenek.
            Tiga hari sudah berlalu, tinggal empat hari sahaja lagi. Sabar Lan. Kau kena sabar. Fadzlan berkata kepada diri sendiri. Dia memulas kepala paip. Air mencurah-curah keluar dari pancur di atas kepala. Fadzlan menikmati kedinginan air pancuran itu tanpa perasaan.
            Selesai membersihkan diri, Fadzlan keluar dari bilik mandi. Dia menonong ke arah meja kecil di sebelah kepala katil. Jam tangan berjenama Omega itu diambil dan ditatap. Baru pukul sepuluh pagi! Fadzlan menghela nafas. Kenapalah masa dirasakan bergerak tersangatlah lambat.
            Lirikan mata Fadzlan menyoroti sehelai t-shirt yang terhampar di atas lantai. Elok-elok depan pintu yang tertutup rapat itu. Fadzlan mengutip t-shirt itu. Eh, ini t-shirt yang dipakainya semalam. Berkerut dahi Fadzlan. Sejak bila t-shirt ada kaki? Bila dia pandang atas katil, seluar jeans yang hendak dipakainya sudah tiada. Pelik! Fadzlan petik jari. Pasti kerja nenek pergi kumpul baju kotor untuk dibasuh. Dengan hanya bertuala, Fadzlan pantas turun ke tingkat bawah mencari Engku Zubaidah. Bila nampak Engku Zubaidah, terus diterkam neneknya itu. Engku Zubaidah urut dada. Atas bawah dia perhatikan Fadzlan.
            “Nek , mana seluar Lan?” tanya Fadzlan.
            “Seluar? Seluar apa?” Engku Zubaidah pula menyoal kembali.
            Fadzlan menggaru kepala. “Habis tu siapa yang ambil? Takkanlah ada orang curi pulak.” Fadzlan menggumam dengan suara yang cukup perlahan.
            Engku Zubaidah yang terdengar monolog luaran Fadzlan itu, pantas menyampuk, “Entah-entah Humairah yang kutip seluar Lan tu. Tadi nampak dia ke hulu-hilir bawa bakul baju.”
            Terbeliak mata Fadzlan. Wah, ikut sedap masuk bilik orang! Fadzlan meminta diri. Dia menuju ke tingkat atas. Memanjangkan langkah ke bilik Humairah yang dahulunya menjadi tempat dia beradu. Tanpa mengetuk terlebih dahulu, Fadzlan langsung menolak keras daun pintu itu sehingga ia terbuka dengan luasnya. Dan tanpa izin, dia melangkah masuk ke dalam bilik itu. Humairah yang kebetulan sedang sibuk mengasingkan baju-baju untuk dibasuh, nyata terkejut. Sepantas kilat, dia mencapai seluar jeans Fadzlan yang disangkanya kain untuk menutupi kepala yang tidak dilindungi apa-apa pun.
            “Bagi seluar aku,” pinta Fadzlan.
            “Se.. seluar apa?” aju Humairah. Bila menyedari keadaan Fadzlan yang hanya bertuala, Humairah paling muka. Dia pula yang jadi malu.
            Fadzlan mendekati Humairah. Cekap tangannya menarik seluar jeans miliknya yang menutupi rambut Humairah. Humairah tersentak. Segera tangan menarik selimut lantas menyelubungi hampir keseluruhan dirinya dari kepala sampai ke hujung kaki. Melihat tingkah Humairah, Fadzlan senyum sinis.
            “Kau tu, kalau nak masuk bilik orang, beradab sikit ye. Jangan main masuk aje. Satu lagi, sebelum sentuh apa-apa dalam bilik aku tu ha, minta izin. Seluar aku ni belum dipakai lagi. Bersih. Faham?” Fadzlan berkata seraya meninggalkan Humairah yang pegun di situ. Berdentum pintu bila Fadzlan menghempasnya dengan kasar.
            Panas! Humairah melepaskan selimut tebal yang menyelubungi dirinya. Gara-gara si gila itulah dia terpaksa jadi orang eskimo. Humairah mengguman geram dalam hati.
            Eleh! Cakap pasal adab. Habis dia yang ceroboh masuk bilik orang dalam keadaan separuh bogel begitu, boleh pulak? Niat dia bukannya hendak menceroboh, dia cuma hendak mengambil pakaian kotor Fadzlan. Itu sahaja. Manalah dia tahu yang seluar itu masih bersih. Tiada apa-apa tanda yang tertulis di seluar jeans tersebut. Tercebik-cebik mulut Humairah menggayakan bahasa hati yang lantang menghambur geram.
            Humairah capai selendang di sampiran besi. Selendang hitam itu dipinkan dan dililit ke bahu. Dia angkat bakul berisi baju-baju kotor itu turun ke bawah.
            “Mai ada ambil seluar Lan ke tadi?” soal Engku Zubaidah.
            Humairah mengangguk. Menyibukkan diri dengan memasukkan baju-baju kotor itu ke dalam mesi basuh setelah diasingkan dengan seluar. Baki pakaian kotor itu diletak di tepi mesi basuh.
            “Mai tak tahu pun seluar tu bersih lagi. Mai ambil ajelah,” jawab Humairah.
            “Lan marah Mai ke?” Selidik Engku Zubaidah.
            “Eh, taklah. Mana ada marah-marah,” dalih Humairah.
            “Fina dah bangun belum?” Fokus Engku Zubaidah beralih kepada cucu perempuannya yang masih belum nampak batang hidung lagi.
            “Belum lagi, nek. Kak Fina penat sangat agaknya. Kan semalam dia on-call. Pagi-pagi buta baru balik. Mahu tak terbongkang atas katil tu ha.” Humairah membalas.
            Tergeleng-geleng kepala Engku Zubaidah. Nasiblah ada Humairah. Kalau tidak, dari pagi tidak bertemanlah dia.
            “Sekejap lagi, Mai pergi kejut Fina ya,” suruh Engku Zubaidah.
            Humairah mengangguk faham. Kepala Humairah menjengah sembilan puluh darjah ke belakang bila merasakan ada seseorang sedang berjalan menghampiri mereka. Tepat telahannya. Fadzlan menyusun langkah mendekat.
            “Nek, Lan keluar dulu,” beritahu Fadzlan.
            Naik tinggi kening Engku Zubaidah. Dua tiga hari ini, Fadzlan tidak lekat di rumah. Ke mana sahajalah Fadzlan pergi. Hendak kata cari kerja, menurut Fadzlan sebelum ini, dia mahu berehat sementara dalam dua tiga minggu. Keluarnya pagi begini, baliknya nanti bila malam menjengah. Selepas Maghrib, barulah nampak bayang orangnya.
            “Lan pergi dululah nek. Rimas duduk dalam rumah.” Fadzlan berkata seraya hayun kaki melangkah pergi dari situ.
            Belum pun sempat Engku Zubaidah menutur kata, Fadzlan sudah hilang dan yang tinggal hanya saki-baki bunyi deruan enjin kereta yang memecut laju meninggalkan perkarangan rumah ini.
            Engku Zubaidah mencuri pandang pada Humairah. Jelas air muka Humairah berubah sekelip mata. Engku Zubaidah tarik nafas dan dilepaskan perlahan. Fadzlan, kamu menghukum dia atas dasar apa? Engku Zubaidah memerhatikan Humairah sehingga gadis itu hilang dibalik dinding.

BACAAN surah Yaasin kedengaran sayup-sayup melatari suasana sunyi dan sepi tanah perkuburan Islam di situ. Bisikan suara itu kedengaran sayu dan semakin memberat bila ia sampai ke penghujungnya.
            Fadzlan menutup mata. Merasai desir angin yang menampar lembut pipinya. Saat ketenangan itu menghuni hati, dia kembali mencelikkan mata. Memandang persekitaran yang hanya wujudnya dia seorang jasad yang bernyawa.
            Renungan mata Fadzlan mendarat di batu nisan di kiri dan kanannya. Kedua-dua perkuburan ini, tersemadi jasad manusia yang amat disayangi.Manusia yang telah membentuk dia menjadi seorang insan yang berjaya. Fadzlan menyeka airmata yang tiba-tiba jatuh menitik ke pipi. Pedihnya hati kala ini begitu terasa. Mencucuk-cucuk. Apatah bila mana bayangan wajah Humairah menerpa ke kotak fikiran. Fadzlan beristigfar perlahan.
            Allahyarham Engku Uzair bin Engku Alauddin dan Allahyarhamah Wardiah binti Kamil. Dua nama itu terukir kemas di batu nisan dalam tulisan jawi. Dicatat sekali tarikh kelahiran dan kematiannya.
            Abah...
            Emak...
            Fadzlan tidak kuat melawan kesedihan. Puas dia menyimpul ketat airmata di pelupuk mata, namun dia gagal. Tumpahnya airmata seorang lelaki kerana menangisi pemergian kesayangan hati empat tahun yang lalu.
            Hampir satu jam dia duduk berteleku di situ, Fadzlan mengambil keputusan beredar. Selangkah demi selangkah dia meninggalkan tanah perkuburan Islam itu diiringi doa ke atas kedua orang tuanya. Kali ini pemergiannya tidak lama. Tidak seperti dahulu.
            Fadzlan menyusup masuk ke dalam kereta. Dia bersandar di kerusi dengan mata terarah ke depan sana. Pandangannya kosong. Fikirannya juga tiada hitam putih. Fadzlan memicit dahi. Tiba-tiba berdenyut. Pintu kereta dikunci dan dia menurunkan kerusi ke belakang. Mengambil masa untuk merehatkan diri yang dirasakan lelah secara mendadak. Fadzlan letak tangan atas dahi. Dia terkebil-kebil lihat bumbung kereta.
            “Lan...” Gemersik suara itu menyapa halwa telinga Fadzlan.
            “Lan...” Suara itu berbisik lagi.          
            Perlahan-lahan Fadzlan katup mata. Waktu itu, seluruh angkasa raya mindanya dipenuhi oleh bayangan seorang gadis manis yang mempunyai tahi lalat di hujung bawah bibir. Pemanis itu menjadi pelengkap keindahan seorang insan bernama Rose Harliana.
            “Fadzlan!”
            Fadzlan menoleh. Lebar senyumannya tatkala terpandangkan seorang gadis tinggi lampai berlari-lari anak mendapatkannya.
            “I miss you,” bisik gadis tadi.
            Fadzlan tersenyum lagi. Gadis tadi duduk di depannya. Hangat sentuhan gadis itu mengenai kulitnya.
            “I miss you too,” tutur Fadzlan.
            Gadis tadi menguntum senyum. “I miss you more, more!”
            Fadzlan pula tersengih.          
            “Berapa kilo berat rindu you tu?” aju Fadzlan.
            “Banyak sangat!” Gadis itu menjawab ceria.
            “Iya ke? Boleh percaya?” Sengaja dicetus bibit-bibit rajuk di hati gadis tadi.
            “Fadzlan!”
            Fadzlan tergelak kecil. Berdecit suara tuan empunya diri yang duduk di depannya.
            “You macam tak percaya aje?” Rajuk gadis itu. Muncungnya panjang sedepa.
            Kuluman senyum Fadzlan menghinggapi bibir. “I percaya,” tuturnya.
            Wajah masam mencuka Rose Harliana kembali ceria. Bibir merah bak delima itu mengukir senyum manis bagai madu.
            “Fadzlan...” Gemersik suara Rose Harliana.
            “Ya?”
            Rose Harliana masih belum mampu mematikan senyuman. Mata itu merenung ke dalam kolam mata seorang lelaki bernama Engku Fadzlan.
            “I love you,” ucapnya penuh perasaan. Sehingga terpejam-pejam mata itu.
            Fadzlan senyum tetapi tidak membalas ucapan yang serupa.
            “I love you so much, Fadzlan...”
            Dang!
            Ucapan cinta itu seakan mengejutkan Fadzlan daripada menggali memori lama. Bagai diketuk kuat kepalanya saat itu. Dia terkebil-kebil. Tadi dia seakan merasai kewujudan Rose Harliana. Hangatnya sentuhan Rose Harliana peri realiti.
            Fadzlan meraup muka. Episod luka itu masih memburu dia. Masih lagi bertapak dalam diri walau selama mana ia telah berlalu. Fadzlan tarik nafas. Entah kenapa, begitu sukar dia memaafkan manusia itu. Terlalu sukar untuk dia menarik kembali kesalahan yang diletakkan sepenuhnya di atas bahu Humairah.

“NENEK, kenapa Lan tak pernah suka pada Mai?” Humairah menoleh. Wajahnya melarik seribu satu riak persoalan yang tidak pernah terjawab.
            Terbejat perlakuan Engku Zubaidah menyusun kuntum-kuntum bunga plastik di dalam pasu kaca. Ekor mata menyoroti Humairah yang masih setia memerhatikannya. Engku Zubaidah angkat muka. Betempur pandang dengan renungan Humairah kepadanya.
            “Apa yang pernah Mai buat pada Lan? Mai pernah sakitkan hati Lan ke, nek?” soal Humairah. Jawapan yang dinanti tidak pernah kunjung tiba. Dan selalunya soalan itu bagai debu yang dihembus angin. Beransur lenyap begitu sahaja.
            “Mai tak ada buat apa-apa.” Engku Zubaidah menjawab tanpa melihat ke dalam mata Humairah pun. Tumpuannya penuh kepada gubahan bunga yang sedang disiapkannya.
            Sukarnya untuk Humairah mempercayai setiap butir bicara Engku Zubaidah. Jelaslah dia pernah mengapa-apakan lelaki itu atau mungkin dia pernah bertindak jahat. Jika tidak, masakan Fadzlan menunjukkan rasa tidak suka terhadapnya secara terang-terangan. Bahasa tubuh itu dan kerlingan yang sering diterimanya sejak empat tahun dulu sehingga kini cukup difahami. Itu sebagai tanda Fadzlan tidak pernah menyukai kewujudan dia. Tetapi dia tidak pernah sedar atau tahu kesilapan dia sebelum ini. Dia tidak ingat!
            “Tapi nek...” Humairah hendak melontar persoalannya lagi tetapi segera dipintas oleh Engku Zubaidah. Engku Zubaidah menyentuh tangan Humairah.
            “Lan tu memang macam tu perangai dia. Dahlah. Mai tolong nenek, boleh? Mai tolong tengok peti surat. Rasanya tengahari tadi ada posmen datang tapi nenek lupa nak jenguk,” ujar Engku Zubaidah.
            Humairah akur. Dia angkat punggung. Kemudian menyarung selipar ke kaki sebelum menyusur langkah menuju ke depan sana. Sambil berjalan, fikiran Humairah bergelandangan dengan perlagai persoalan yang lebih menyesakkan. Seringkali dia disuap dengan ayat penenang nenek yang tidak menjawab persoalan dia. Nenek kata perangai Fadzlan memang begitu. Masalah yang terhampar luas depan mata adalah perangai Fadzlan begitu hanya dengan dia sahaja.
            Humairah yang ketika itu tidak awas dengan persekitarannya, asyik memikirkan silap diri, hampir-hampir dilanggar kereta yang dipandu Fadzlan yang ketika itu menyusur masuk ke perkarangan rumah. Humairah jatuh tergolek atas tanah berumput. Engku Zubaidah yang melihat kejadian itu pantas mendapatkan Humairah.
            “Ya Allah, Mai!” tempik Engku Zubaidah.
            Humairah berusaha hendak bangun. Sakit pinggangnya.
            Fadzlan keluar dari kereta. Terpampang riak bengang di air muka itu.
            “Kau nak mati lagi eh?” jerkah Fadzlan.
            “Lan!” Engku Zubaidah menegur. Kasar sungguh bahasa yang ditutur Fadzlan kepada Humairah.
            Fadzlan tarik muka. Mujur dia sempat menekan brek. Andai sahaja lewat sedetik waktu, mahu Humairah bergelimpangan setelah dicium kereta milik arwah abahnya.
              Humairah yang masih terkejut dengan kejadian itu hanya diam seribu bahasa. Bulat matanya menekur lantai tanah. Jantungnya berdegup kencang. Fikirannya kosong tiba-tiba.
            “Lain kali mata tu jangan letak kat kepala lutut. Agak-agak rasa nak mati lagi sekali tu, janganlah buat kat sini. Pergi cari tempat lain.” Fadzlan terus menghambur kata-kata yang kurang enak dipendengaran.
            Engku Zubaidah berdiri. Mencerlung mata merenung Fadzlan yang tidak berasa bersalah walau sedikit pun bila melontar bicara sebegitu kasar.
            “Lan! Jaga sikit percakapan tu,” marah Engku Zubaidah.
            Fadzlan mendegus kurang senang. Kerlingannya tertumpah ke arah Humairah yang masih terduduk di tempat tadi.
            “Maafkan Lan, nek,” ucap Fadzlan dan kembali memboloskan diri ke dalam kereta. Dia memarkir kereta bersebelahan Suzuki Swift milik Afina.
            Afina yang baru sahaja muncul di muka pintu, memandang pelik ke arah Engku Zubaidah dan Humairah di depan sana. Engku Zubaidah sedang membantu Humairah berdiri. Apa sudah jadi?
            “Kenapa tu, Lan?” aju Afina.

            Fadzlan angkat bahu. Tanpa sepatah kata, dia meluru masuk ke dalam rumah. Bertambah hairan Afina dibuatnya melihat situasi depan mata.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: 17 Jun ni, bersamaan hari Isnin yg akan datang ni, Hang Tuah Centre, Melaka akan dirasmikan. Akhirnyaaa! Punya laa gigih sepanjang intern, sambung kontrak pulak kat kompeni ni, asyik duk hadap Hang Tuah dan kawan-kawannya. Gigih laa sangat kan aku ni hahaha. Ayuh... kunjungilah Hang Tuah Centre secara beramai-ramai bila ianya dah dibuka kepada umum nanti. Bawa keluarga, saudara-mara, kawan-kawan :) Kita kenang dan ingati kembali hero klasik Hang Tuah. Susuri kehidupan pahlawan melayu bersama keluarga, sahabat-sahabatnya dan orang-orang bangsawan. Nak belajar silat ponnn boleh. Content yang sangat sesuai untuk budak-budak zezaman sekarang. Hihi. Okey, dah habis promote. Tata! :)

8 comments:

Eijan said...

Cerita ni menarik...tp Sy masih keliru lagi kerana tiba2 dah 2 bab timbul cerita fadzlan...
Tak tau apa sebenarnya yg jadi pd humaira masa cubaan merogolnya oleh kan Haikal... Apa jadi dgn Haiqal dan nenek kat kg tu....
Pening la nak fikirkan...

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Eijan

Hi :) Sori kalau keliru. Semua watak yg ada saling berkait sbnrnya. Akan wujud pertalian antara Humairah dulu dan Humairah skrg. InsyaAllah, mungkin kekeliruan tu kurg sikit kot kalau bab2 seterusnya dipublish. Hihi.

Terima kasih ye sudi baca. Tak mau pening2 fikir ye :)

Unknown said...

X FAHAM .

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

Ohh awk. Sori sgt2 kalo tak faham. Mybe kalo dah masuk bab2 lepas2 ni, awk akan faham. hope so! -..-' susah pulak hati buat cerita mcm ni. Tak folow the flow. Huhu

jumaria said...

alhamdulillah saya faham...cuma mnanti bila konflik cerita ni dileraikan...

jumaria said...

alhamdulillah saya faham...cuma mnanti dgn sabar bila konflik dleraikan....

jumaria said...

alhamdulillah saya faham...cuma mnanti bila konflik cerita ni dileraikan...

~::HANAH RISHAS::~ said...

@jumaria

Alhamdulillah :) Terima kasih sudi baca ye :)