"...There is reward for kindness to every living thing..."
Bab 16
ATAS permintaan Engku Zubaidah, maka Fadzlan
terpaksa menangguhkan perpindahannya ke rumah sewa Hakimi. Demi menjaga hati
nenek, dia turuti juga permintaan nenek yang satu itu. Penangguhan itu bukanlah
sekejap waktu. Mencecah seminggu lamanya. Mulanya dia hendak membantah, tetapi
bila memikirkan kata-kata Afina lewat malam kelmarin, dia putuskan angin
sendiri. Afina meminta dia jaga hati nenek.
Tiga
hari sudah berlalu, tinggal empat hari sahaja lagi. Sabar Lan. Kau kena sabar.
Fadzlan berkata kepada diri sendiri. Dia memulas kepala paip. Air
mencurah-curah keluar dari pancur di atas kepala. Fadzlan menikmati kedinginan
air pancuran itu tanpa perasaan.
Selesai
membersihkan diri, Fadzlan keluar dari bilik mandi. Dia menonong ke arah meja
kecil di sebelah kepala katil. Jam tangan berjenama Omega itu diambil dan
ditatap. Baru pukul sepuluh pagi! Fadzlan menghela nafas. Kenapalah masa dirasakan
bergerak tersangatlah lambat.
Lirikan
mata Fadzlan menyoroti sehelai t-shirt yang terhampar di atas lantai. Elok-elok
depan pintu yang tertutup rapat itu. Fadzlan mengutip t-shirt itu. Eh, ini
t-shirt yang dipakainya semalam. Berkerut dahi Fadzlan. Sejak bila t-shirt ada
kaki? Bila dia pandang atas katil, seluar jeans yang hendak dipakainya sudah
tiada. Pelik! Fadzlan petik jari. Pasti kerja nenek pergi kumpul baju kotor
untuk dibasuh. Dengan hanya bertuala, Fadzlan pantas turun ke tingkat bawah mencari
Engku Zubaidah. Bila nampak Engku Zubaidah, terus diterkam neneknya itu. Engku
Zubaidah urut dada. Atas bawah dia perhatikan Fadzlan.
“Nek
, mana seluar Lan?” tanya Fadzlan.
“Seluar?
Seluar apa?” Engku Zubaidah pula menyoal kembali.
Fadzlan
menggaru kepala. “Habis tu siapa yang ambil? Takkanlah ada orang curi pulak.”
Fadzlan menggumam dengan suara yang cukup perlahan.
Engku
Zubaidah yang terdengar monolog luaran Fadzlan itu, pantas menyampuk,
“Entah-entah Humairah yang kutip seluar Lan tu. Tadi nampak dia ke hulu-hilir
bawa bakul baju.”
Terbeliak
mata Fadzlan. Wah, ikut sedap masuk bilik orang! Fadzlan meminta diri. Dia
menuju ke tingkat atas. Memanjangkan langkah ke bilik Humairah yang dahulunya
menjadi tempat dia beradu. Tanpa mengetuk terlebih dahulu, Fadzlan langsung
menolak keras daun pintu itu sehingga ia terbuka dengan luasnya. Dan tanpa
izin, dia melangkah masuk ke dalam bilik itu. Humairah yang kebetulan sedang
sibuk mengasingkan baju-baju untuk dibasuh, nyata terkejut. Sepantas kilat, dia
mencapai seluar jeans Fadzlan yang disangkanya kain untuk menutupi kepala yang
tidak dilindungi apa-apa pun.
“Bagi
seluar aku,” pinta Fadzlan.
“Se..
seluar apa?” aju Humairah. Bila menyedari keadaan Fadzlan yang hanya bertuala,
Humairah paling muka. Dia pula yang jadi malu.
Fadzlan
mendekati Humairah. Cekap tangannya menarik seluar jeans miliknya yang menutupi
rambut Humairah. Humairah tersentak. Segera tangan menarik selimut lantas
menyelubungi hampir keseluruhan dirinya dari kepala sampai ke hujung kaki.
Melihat tingkah Humairah, Fadzlan senyum sinis.
“Kau
tu, kalau nak masuk bilik orang, beradab sikit ye. Jangan main masuk aje. Satu
lagi, sebelum sentuh apa-apa dalam bilik aku tu ha, minta izin. Seluar aku ni
belum dipakai lagi. Bersih. Faham?” Fadzlan berkata seraya meninggalkan
Humairah yang pegun di situ. Berdentum pintu bila Fadzlan menghempasnya dengan
kasar.
Panas!
Humairah melepaskan selimut tebal yang menyelubungi dirinya. Gara-gara si gila
itulah dia terpaksa jadi orang eskimo. Humairah mengguman geram dalam hati.
Eleh!
Cakap pasal adab. Habis dia yang ceroboh masuk bilik orang dalam keadaan
separuh bogel begitu, boleh pulak? Niat dia bukannya hendak menceroboh, dia cuma
hendak mengambil pakaian kotor Fadzlan. Itu sahaja. Manalah dia tahu yang
seluar itu masih bersih. Tiada apa-apa tanda yang tertulis di seluar jeans
tersebut. Tercebik-cebik mulut Humairah menggayakan bahasa hati yang lantang
menghambur geram.
Humairah
capai selendang di sampiran besi. Selendang hitam itu dipinkan dan dililit ke
bahu. Dia angkat bakul berisi baju-baju kotor itu turun ke bawah.
“Mai
ada ambil seluar Lan ke tadi?” soal Engku Zubaidah.
Humairah
mengangguk. Menyibukkan diri dengan memasukkan baju-baju kotor itu ke dalam
mesi basuh setelah diasingkan dengan seluar. Baki pakaian kotor itu diletak di
tepi mesi basuh.
“Mai
tak tahu pun seluar tu bersih lagi. Mai ambil ajelah,” jawab Humairah.
“Lan
marah Mai ke?” Selidik Engku Zubaidah.
“Eh,
taklah. Mana ada marah-marah,” dalih Humairah.
“Fina
dah bangun belum?” Fokus Engku Zubaidah beralih kepada cucu perempuannya yang
masih belum nampak batang hidung lagi.
“Belum
lagi, nek. Kak Fina penat sangat agaknya. Kan semalam dia on-call. Pagi-pagi
buta baru balik. Mahu tak terbongkang atas katil tu ha.” Humairah membalas.
Tergeleng-geleng
kepala Engku Zubaidah. Nasiblah ada Humairah. Kalau tidak, dari pagi tidak
bertemanlah dia.
“Sekejap
lagi, Mai pergi kejut Fina ya,” suruh Engku Zubaidah.
Humairah
mengangguk faham. Kepala Humairah menjengah sembilan puluh darjah ke belakang
bila merasakan ada seseorang sedang berjalan menghampiri mereka. Tepat
telahannya. Fadzlan menyusun langkah mendekat.
“Nek,
Lan keluar dulu,” beritahu Fadzlan.
Naik
tinggi kening Engku Zubaidah. Dua tiga hari ini, Fadzlan tidak lekat di rumah.
Ke mana sahajalah Fadzlan pergi. Hendak kata cari kerja, menurut Fadzlan
sebelum ini, dia mahu berehat sementara dalam dua tiga minggu. Keluarnya pagi
begini, baliknya nanti bila malam menjengah. Selepas Maghrib, barulah nampak
bayang orangnya.
“Lan
pergi dululah nek. Rimas duduk dalam rumah.” Fadzlan berkata seraya hayun kaki
melangkah pergi dari situ.
Belum
pun sempat Engku Zubaidah menutur kata, Fadzlan sudah hilang dan yang tinggal
hanya saki-baki bunyi deruan enjin kereta yang memecut laju meninggalkan
perkarangan rumah ini.
Engku
Zubaidah mencuri pandang pada Humairah. Jelas air muka Humairah berubah sekelip
mata. Engku Zubaidah tarik nafas dan dilepaskan perlahan. Fadzlan, kamu
menghukum dia atas dasar apa? Engku Zubaidah memerhatikan Humairah sehingga
gadis itu hilang dibalik dinding.
BACAAN surah Yaasin kedengaran sayup-sayup
melatari suasana sunyi dan sepi tanah perkuburan Islam di situ. Bisikan suara
itu kedengaran sayu dan semakin memberat bila ia sampai ke penghujungnya.
Fadzlan
menutup mata. Merasai desir angin yang menampar lembut pipinya. Saat ketenangan
itu menghuni hati, dia kembali mencelikkan mata. Memandang persekitaran yang
hanya wujudnya dia seorang jasad yang bernyawa.
Renungan
mata Fadzlan mendarat di batu nisan di kiri dan kanannya. Kedua-dua perkuburan
ini, tersemadi jasad manusia yang amat disayangi.Manusia yang telah membentuk
dia menjadi seorang insan yang berjaya. Fadzlan menyeka airmata yang tiba-tiba
jatuh menitik ke pipi. Pedihnya hati kala ini begitu terasa. Mencucuk-cucuk.
Apatah bila mana bayangan wajah Humairah menerpa ke kotak fikiran. Fadzlan
beristigfar perlahan.
Allahyarham
Engku Uzair bin Engku Alauddin dan Allahyarhamah Wardiah binti Kamil. Dua nama
itu terukir kemas di batu nisan dalam tulisan jawi. Dicatat sekali tarikh
kelahiran dan kematiannya.
Abah...
Emak...
Fadzlan
tidak kuat melawan kesedihan. Puas dia menyimpul ketat airmata di pelupuk mata,
namun dia gagal. Tumpahnya airmata seorang lelaki kerana menangisi pemergian
kesayangan hati empat tahun yang lalu.
Hampir
satu jam dia duduk berteleku di situ, Fadzlan mengambil keputusan beredar.
Selangkah demi selangkah dia meninggalkan tanah perkuburan Islam itu diiringi
doa ke atas kedua orang tuanya. Kali ini pemergiannya tidak lama. Tidak seperti
dahulu.
Fadzlan
menyusup masuk ke dalam kereta. Dia bersandar di kerusi dengan mata terarah ke
depan sana. Pandangannya kosong. Fikirannya juga tiada hitam putih. Fadzlan
memicit dahi. Tiba-tiba berdenyut. Pintu kereta dikunci dan dia menurunkan
kerusi ke belakang. Mengambil masa untuk merehatkan diri yang dirasakan lelah
secara mendadak. Fadzlan letak tangan atas dahi. Dia terkebil-kebil lihat
bumbung kereta.
“Lan...”
Gemersik suara itu menyapa halwa telinga Fadzlan.
“Lan...”
Suara itu berbisik lagi.
Perlahan-lahan
Fadzlan katup mata. Waktu itu, seluruh angkasa raya mindanya dipenuhi oleh
bayangan seorang gadis manis yang mempunyai tahi lalat di hujung bawah bibir.
Pemanis itu menjadi pelengkap keindahan seorang insan bernama Rose Harliana.
“Fadzlan!”
Fadzlan
menoleh. Lebar senyumannya tatkala terpandangkan seorang gadis tinggi lampai
berlari-lari anak mendapatkannya.
“I
miss you,” bisik gadis tadi.
Fadzlan
tersenyum lagi. Gadis tadi duduk di depannya. Hangat sentuhan gadis itu
mengenai kulitnya.
“I
miss you too,” tutur Fadzlan.
Gadis
tadi menguntum senyum. “I miss you more, more!”
Fadzlan
pula tersengih.
“Berapa
kilo berat rindu you tu?” aju Fadzlan.
“Banyak
sangat!” Gadis itu menjawab ceria.
“Iya
ke? Boleh percaya?” Sengaja dicetus bibit-bibit rajuk di hati gadis tadi.
“Fadzlan!”
Fadzlan
tergelak kecil. Berdecit suara tuan empunya diri yang duduk di depannya.
“You
macam tak percaya aje?” Rajuk gadis itu. Muncungnya panjang sedepa.
Kuluman
senyum Fadzlan menghinggapi bibir. “I percaya,” tuturnya.
Wajah
masam mencuka Rose Harliana kembali ceria. Bibir merah bak delima itu mengukir
senyum manis bagai madu.
“Fadzlan...”
Gemersik suara Rose Harliana.
“Ya?”
Rose
Harliana masih belum mampu mematikan senyuman. Mata itu merenung ke dalam kolam
mata seorang lelaki bernama Engku Fadzlan.
“I
love you,” ucapnya penuh perasaan. Sehingga terpejam-pejam mata itu.
Fadzlan
senyum tetapi tidak membalas ucapan yang serupa.
“I
love you so much, Fadzlan...”
Dang!
Ucapan
cinta itu seakan mengejutkan Fadzlan daripada menggali memori lama. Bagai
diketuk kuat kepalanya saat itu. Dia terkebil-kebil. Tadi dia seakan merasai
kewujudan Rose Harliana. Hangatnya sentuhan Rose Harliana peri realiti.
Fadzlan
meraup muka. Episod luka itu masih memburu dia. Masih lagi bertapak dalam diri
walau selama mana ia telah berlalu. Fadzlan tarik nafas. Entah kenapa, begitu
sukar dia memaafkan manusia itu. Terlalu sukar untuk dia menarik kembali
kesalahan yang diletakkan sepenuhnya di atas bahu Humairah.
“NENEK, kenapa Lan tak pernah suka pada Mai?”
Humairah menoleh. Wajahnya melarik seribu satu riak persoalan yang tidak pernah
terjawab.
Terbejat
perlakuan Engku Zubaidah menyusun kuntum-kuntum bunga plastik di dalam pasu
kaca. Ekor mata menyoroti Humairah yang masih setia memerhatikannya. Engku
Zubaidah angkat muka. Betempur pandang dengan renungan Humairah kepadanya.
“Apa
yang pernah Mai buat pada Lan? Mai pernah sakitkan hati Lan ke, nek?” soal
Humairah. Jawapan yang dinanti tidak pernah kunjung tiba. Dan selalunya soalan
itu bagai debu yang dihembus angin. Beransur lenyap begitu sahaja.
“Mai
tak ada buat apa-apa.” Engku Zubaidah menjawab tanpa melihat ke dalam mata
Humairah pun. Tumpuannya penuh kepada gubahan bunga yang sedang disiapkannya.
Sukarnya
untuk Humairah mempercayai setiap butir bicara Engku Zubaidah. Jelaslah dia
pernah mengapa-apakan lelaki itu atau mungkin dia pernah bertindak jahat. Jika
tidak, masakan Fadzlan menunjukkan rasa tidak suka terhadapnya secara
terang-terangan. Bahasa tubuh itu dan kerlingan yang sering diterimanya sejak
empat tahun dulu sehingga kini cukup difahami. Itu sebagai tanda Fadzlan tidak
pernah menyukai kewujudan dia. Tetapi dia tidak pernah sedar atau tahu
kesilapan dia sebelum ini. Dia tidak ingat!
“Tapi
nek...” Humairah hendak melontar persoalannya lagi tetapi segera dipintas oleh
Engku Zubaidah. Engku Zubaidah menyentuh tangan Humairah.
“Lan
tu memang macam tu perangai dia. Dahlah. Mai tolong nenek, boleh? Mai tolong
tengok peti surat. Rasanya tengahari tadi ada posmen datang tapi nenek lupa nak
jenguk,” ujar Engku Zubaidah.
Humairah
akur. Dia angkat punggung. Kemudian menyarung selipar ke kaki sebelum menyusur
langkah menuju ke depan sana. Sambil berjalan, fikiran Humairah bergelandangan
dengan perlagai persoalan yang lebih menyesakkan. Seringkali dia disuap dengan
ayat penenang nenek yang tidak menjawab persoalan dia. Nenek kata perangai
Fadzlan memang begitu. Masalah yang terhampar luas depan mata adalah perangai
Fadzlan begitu hanya dengan dia sahaja.
Humairah
yang ketika itu tidak awas dengan persekitarannya, asyik memikirkan silap diri,
hampir-hampir dilanggar kereta yang dipandu Fadzlan yang ketika itu menyusur
masuk ke perkarangan rumah. Humairah jatuh tergolek atas tanah berumput. Engku
Zubaidah yang melihat kejadian itu pantas mendapatkan Humairah.
“Ya
Allah, Mai!” tempik Engku Zubaidah.
Humairah
berusaha hendak bangun. Sakit pinggangnya.
Fadzlan
keluar dari kereta. Terpampang riak bengang di air muka itu.
“Kau
nak mati lagi eh?” jerkah Fadzlan.
“Lan!”
Engku Zubaidah menegur. Kasar sungguh bahasa yang ditutur Fadzlan kepada
Humairah.
Fadzlan
tarik muka. Mujur dia sempat menekan brek. Andai sahaja lewat sedetik waktu,
mahu Humairah bergelimpangan setelah dicium kereta milik arwah abahnya.
Humairah
yang masih terkejut dengan kejadian itu hanya diam seribu bahasa. Bulat matanya
menekur lantai tanah. Jantungnya berdegup kencang. Fikirannya kosong tiba-tiba.
“Lain
kali mata tu jangan letak kat kepala lutut. Agak-agak rasa nak mati lagi sekali
tu, janganlah buat kat sini. Pergi cari tempat lain.” Fadzlan terus menghambur
kata-kata yang kurang enak dipendengaran.
Engku
Zubaidah berdiri. Mencerlung mata merenung Fadzlan yang tidak berasa bersalah
walau sedikit pun bila melontar bicara sebegitu kasar.
“Lan!
Jaga sikit percakapan tu,” marah Engku Zubaidah.
Fadzlan
mendegus kurang senang. Kerlingannya tertumpah ke arah Humairah yang masih
terduduk di tempat tadi.
“Maafkan
Lan, nek,” ucap Fadzlan dan kembali memboloskan diri ke dalam kereta. Dia
memarkir kereta bersebelahan Suzuki Swift milik Afina.
Afina
yang baru sahaja muncul di muka pintu, memandang pelik ke arah Engku Zubaidah
dan Humairah di depan sana. Engku Zubaidah sedang membantu Humairah berdiri.
Apa sudah jadi?
“Kenapa
tu, Lan?” aju Afina.
Fadzlan
angkat bahu. Tanpa sepatah kata, dia meluru masuk ke dalam rumah. Bertambah
hairan Afina dibuatnya melihat situasi depan mata.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: 17 Jun ni, bersamaan hari Isnin yg akan datang ni, Hang Tuah Centre, Melaka akan dirasmikan. Akhirnyaaa! Punya laa gigih sepanjang intern, sambung kontrak pulak kat kompeni ni, asyik duk hadap Hang Tuah dan kawan-kawannya. Gigih laa sangat kan aku ni hahaha. Ayuh... kunjungilah Hang Tuah Centre secara beramai-ramai bila ianya dah dibuka kepada umum nanti. Bawa keluarga, saudara-mara, kawan-kawan :) Kita kenang dan ingati kembali hero klasik Hang Tuah. Susuri kehidupan pahlawan melayu bersama keluarga, sahabat-sahabatnya dan orang-orang bangsawan. Nak belajar silat ponnn boleh. Content yang sangat sesuai untuk budak-budak zezaman sekarang. Hihi. Okey, dah habis promote. Tata! :)
8 comments:
Cerita ni menarik...tp Sy masih keliru lagi kerana tiba2 dah 2 bab timbul cerita fadzlan...
Tak tau apa sebenarnya yg jadi pd humaira masa cubaan merogolnya oleh kan Haikal... Apa jadi dgn Haiqal dan nenek kat kg tu....
Pening la nak fikirkan...
@Eijan
Hi :) Sori kalau keliru. Semua watak yg ada saling berkait sbnrnya. Akan wujud pertalian antara Humairah dulu dan Humairah skrg. InsyaAllah, mungkin kekeliruan tu kurg sikit kot kalau bab2 seterusnya dipublish. Hihi.
Terima kasih ye sudi baca. Tak mau pening2 fikir ye :)
X FAHAM .
@baby mio
Ohh awk. Sori sgt2 kalo tak faham. Mybe kalo dah masuk bab2 lepas2 ni, awk akan faham. hope so! -..-' susah pulak hati buat cerita mcm ni. Tak folow the flow. Huhu
alhamdulillah saya faham...cuma mnanti bila konflik cerita ni dileraikan...
alhamdulillah saya faham...cuma mnanti dgn sabar bila konflik dleraikan....
alhamdulillah saya faham...cuma mnanti bila konflik cerita ni dileraikan...
@jumaria
Alhamdulillah :) Terima kasih sudi baca ye :)
Post a Comment