Tuesday, August 27, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 29.

Assalamualaikum.








"...The heart will rest and feel relief if it is settled with Allah and it will worry and be anxious if it is settled with people..." - Ibn al-Qayyim










Bab 29
“YA ALLAH , Mai! Kenapa dengan Mai ni? Dahi tu, kenapa berbalut macam tu?” Lantang Engku Zubaidah menghambur keresahan. Tangannya meraba-raba muka Humairah. Ditilik kepala yang berbalut itu.
“Mai jatuh sikit tadi,” beritahu Humairah.
“Jatuh?!” Berdecit suara Engku Zubaidah.
“Humairah terlibat dalam kes ragut tadi. Dia jatuh dan tak sedarkan diri.” Haikal yang berdiri di belakang Humairah memberitahu perkara sebenar.
“Apa? Ragut?! Ya Allah, susah hati nenek, Mai.” Engku Zubaidah memeluk erat tubuh Humairah.
“Mai tak apa-apa, nek. Luka sikit dahi ni. Mujur Haikal tolong Mai,” jelas Humairah pula. Melontar pandangan ke arah Haikal.
Engku Zubaidah melurut mata pada seorang anak muda yang telah menghantar Humairah pulang. Atas bawah dia perhati anak muda bernama Haikal itu.
“Dah lapor polis?” tanya Engku Zubaidah.
Humairah menggeleng. “Buang masa aje nek pergi lapor polis. Mai tak rugi apa-apa pun. Dompet, handphone semua ada pada Mai. Orang tu ragut beg semata,” kata Humairah disusuli senyuman kecil ditempel ke bibirnya.
“Tapi tengok keadaan Mai ni. Sampai berbalut dahi.”
“Luka sikit aje, nek.”
“Saya balik dululah,” celah Haikal ditengah-tengah perbualan antara Humairah dan Engku Zubaidah.
“Tak masuk dulu?” pelawa Engku Zubaidah.
“Tak apalah, makcik. Lagipun dah lewat malam dah ni,” tolak Haikal.
“Terima kasih sebab tolong cucu nenek ni. Terima kasih sangat-sangat,” ucap Engku Zubaidah.
Haikal sekadar senyum halus.
“Awak...” Humairah memanggil lembut.
Haikal berkalih ke belakang. Menumpah pandangan mata tepat ke raut wajah Humairah.
“Sampaikan salam saya kat nenek awak,” tuturnya.
“InsyaAllah,” balas Haikal.
Enjin kereta dihidupkan. Pedal minyak dipijak perlahan. Tangan sudah memegang gear, tetapi masih kaku tidak bergerak. Dari dalam kereta, dia merenung ke arah Humairah yang tampak bahagia di sisi seorang wanita yang dipanggil nenek. Sesekali gadis itu menoleh kepadanya dan hulur senyum.
Berat hatinya meninggalkan Humairah di sini sedang dia sedia tahu, entah betul entah tidak, Humairah itu ialah Humairah mereka. Haikal tarik nafas dalam-dalam. Andai benar takdir pertemuan ini sesuatu yang telah direncanakan oleh Allah untuk mereka, dia percaya, suatu masa nanti ‘Humairah’ akan muncul kembali.

“TENGOK, apa jadi pada Mai!” Jerkah Engku Zubaidah sebaik menapak masuk ke dalam rumah. Humairah pula serba-salah melihat kemarahan neneknya yang disuakan pada Fadzlan. Lelaki itu nampaknya buat tidak dengar. Langsung tidak membalas atau menoleh memandang ke arah mereka.
“Kalau kamu pergi ambil Humairah, takkan terjadi macam ni. Mai kena ragut, lepas tu jatuh dan pengsan!” Engku Zubaidah tahan hati.
“Sikit aje kan.” Sahut Fadzlan.
Engku Zubaidah gigit bibir. Laju kakinya melangkah mendekati Fadzlan yang duduk bersenang-lenang hadap rancangan di peti televisyen.
“Sikit kamu kata? Mai kena ragut, lepas tu mengalami kecelakaan. Kepala sampai berbalut macam ni kamu kata sikit?” Engku Zubaidah menghambur bicara dengan nafas yang turun naik menahan marah.
Fadzlan menoleh sekilas. Tersorot matanya ke arah Humairah yang memaku di sisi Engku Zubaidah sambil menunduk tenung lantai. Dia mencebik dalam diam. Hidup lagi pun budaknya! Luka? Mana yang luka? Oh, balutan kat kepala tu? Kalau luka di kepala Humairah yang tak seberapa teruk itu ternampak dek mata Engku Zubaidah, meragut simpati neneknya, bagaimana pula dengan luka di hati dia? Ada sesiapa nampak? Ada sesiapa peduli? Tiada! Fadzlan merasakan dirinya terlalu emosional.
“Kecil sangat kalau nak dibandingkan dengan apa yang dah Lan lalui selama ni,” tuturnya.
“Susah cakap dengan kamu ni, Lan. Susah!” marah Engku Zubaidah, berbaur kecewa. Wanita itu terduduk atas sofa, bertentang Fadzlan yang cuba mengawal perasaan sebaik mungkin.
Fadzlan berdiri. Kedua belah tangannya menyeluk poket seluar. Dengan wajah mendongak, dia memutuskan hendak berangkat pulang ke rumah.
“Kenapa susah sangat kamu nak ambil berat pasal keluarga sendiri, hah Lan?” Mendatar suara Engku Zubaidah.
Langsung terbejat hayunan kaki Fadzlan.
“Siapa kata Lan tak ambil berat pasal keluarga? Kalau nenek nak tahu, Lan sayangkan keluarga kita lebih dari diri Lan sendiri,” tingkah Fadzlan.
“Kalau Lan ambil berat, kenapa Lan boleh biar perkara buruk berlaku pada Humairah?” Ungkit Engku Zubaidah.
Sekelipan, Fadzlan berpaling. Merenung tajam Engku Zubaidah sebelum berkalih pada Humairah pula. Bungkam perasaannya tatkala terpandangkan Humairah.
“Humairah sebahagian dari keluarga kita, Lan.” Engku Zubaidah berlembut. Sesak dada melihat tingkah Fadzlan yang tidak pernah menyenangkan hati dia sejak kali pertama menjejak kaki di rumah ini setelah beberapa tahun membawa diri ke luar negara.
Kening Fadzlan hampir bertaut, disertai kocakan hebat yang terlukis di wajah itu.
“Dia bukan sesiapa!” tegas Fadzlan. Tanpa mengucap selamat tinggal mahupun menyalami tangan neneknya, Fadzlan melulu keluar. Semakin menipis tembok yang dia bina memagar hati sendiri bila melihat Humairah depan mata dengan kepala berbalut kain putih berjaring-jaring halus.
“Lan! Lan!” Pekik Engku Zubaidah.
Fadzlan tidak menghirau panggilan neneknya. Tanpa menunggu lebih lama, dia meloloskan diri ke dalam kereta, menghenyak punggung di seat kulit berwarna hitam. Kunci dicucuk ke dalam lubang di sebelah kanan batang stereng. Menderu kasar bunyi enjin itu mengaum.
Sebaik sahaja ternampak kelibat Humairah tersembul di muka pintu, Fadzlan menekan pedal minyak. Kereta terundur ke belakang, melepasi pagar. Dalam sekelip mata, kereta yang dipandu laju itu hanya tersisa asap putih yang menghilang bersama ngauman enjin kereta.
“Nenek, Fadzlan dah balik. Mai tak sempat kejar dia.” Humairah berlari-lari anak mendapatkan Engku Zubaidah yang menyandar lemah di sofa. Kelopak mata Engku Zubaidah terkatup rapat. Yang kedengaran hanyalah desah nafas neneknya itu. Perlahan-lahan, Humairah menyentuh tangan tua itu. Digenggam erat. Apa yang bergelora di jiwa seolah telah diekspresikan melalui airmata yang jatuh membasahi pipi. Humairah menahan esak. Sungguh! Perasaan dia tersentuh mendengar bicara Fadzlan. Kenapa lelaki itu mendera dia sebegini rupa? Andai benar dia ada berbuat sesuatu yang telah mengundang kekecewaan di hati lelaki itu, luahkan sahaja agar mudah untuk dia mengungkap kata maaf.
Esakan halus itu menggigit gegendang telinga Engku Zubaidah. Cepat-cepat dia melontar pandangan ke arah Humairah yang menunduk.
“Mai, kenapa ni sayang?”
Humairah menggeleng.
“Jangan menangis sayang...” pujuk Engku Zubaidah. Untaian airmata itu diseka guna hujung jari. Dipeluknya tubuh Humairah.
“Kalaulah Mai ingat apa yang berlaku dulu. Kalaulah Mai tahu siapa Mai sebenarnya. Kalaulah Mai ingat...” Mengogoi tangisan Humairah.
Engku Zubaidah mengusap belakang tubuh Humairah.
Fadzlan, tidakkah kau mampu melupakan kisah itu? Kesalahan apa yang telah dilakukan gadis ini sehingga kau sanggup menidakkan kewujudan dia? Sudah dikata berkali-kali, Humairah tiada kena-mengena dengan kecelakaan tersebut. Dia dan Afina mampu melupakannya, tetapi kenapa tidak Fadzlan?

Hati tanpa cinta, mampukah kebahagiaan itu diukir hanya dengan restu keluarga?
“INI Rose Harliana.”
Fadzlan memerhatikan sekeping gambar di tangan Wardiah. Paras indah sang gadis dalam gambar itu langsung tidak menjentik walau sedikit hatinya. Bila Wardiah menghulur gambar itu kepadanya, barulah dia sambut dan meneliti tajam. Seulas senyuman bagai hidup dalam gambar kaku tersebut.
“Siapa ni mak?” soalnya penuh tanda-tanya. Tidak pernah-pernah emak tunjuk gambar perempuan kepadanya.
Wardiah senyum simpul pandang Fadzlan.
“Kan mak dah beritahu tadi. Perempuan ni namanya Rose Harliana.” Wardiah berkata seraya kalih duduk. Tadi di depan Fadzlan, sekarang di sebelah anak terunanya itu.
Fadzlan menoleh ke arah Wardiah. Tidak berkelip mata dia memandang. Kening diangkat tinggi sebagai tanda tidak faham.
“Mak nak sangat anak mak ni berkawan dengan Rose. Rose ni budaknya baik. Baik sangat,” jelas Wardiah.
Bertambahlah pening kepala otak Fadzlan mencerna maklumat itu.
“Kawan?” Lambat-lambat Fadzlan bertanya.
Wardiah mengangguk laju.
“Lan tak kenal pun dia ni, macam mana nak kawan?” aju Fadzlan. Gambar itu ditenung lagi.
Wardiah menepuk peha Fadzlan. Dalam senyum penuh makna, dia berkata, “Nanti mak kenalkan Lan dengan Rose ye.”
Eh, mak aku ni dah kenapa? Berdetak-detik hati sendiri melihat perilaku Wardiah yang ganjil itu. Macam sesi pilih calon isteri pun ada.
“Mak berkenan sangat kalau Rose tu jadi menantu mak satu hari nanti.” Wardiah menutur bicara penuh maksud yang sedia difahami oleh Fadzlan.
Detakan halus mengetuk dada. Mula-mula perlahan, lama-lama semakin laju, dan laju, dan laju. Renungan Fadzlan jatuh pada gambar yang dipegangnya. Rose Harliana?

Kini, kekecewaan itu menjadi tembok hati. Tetapi sampai bila?
PONN! TINN! TINN! PONNNNNNN!
Fadzlan tersentak. Kelam-kabut dia menekan pedal minyak. Rupanya tiang lampu isyarat sudah bertukar warna hijau. Dia pula boleh berangan mengorek kenangan lalu. Entah berapa bakul kata-kata kurang enak dilempar padanya dek kerana menganggu perjalanan mereka yang berderet di belakang. Dia pun tidak sedar berapa lama dia tenggelam dalam ingatan yang sekejap itu. Mujur bunyi kuat hon memecah ilusi dia. Gamaknya sampai ke pagi dia begitu.
Stereng dipusing ke kanan. Kereta berhenti di bahu jalan. Dia perlu ruang untuk bernafas seketika. Pintu dibuka luas. Kaki terjulur keluar memijak lantai tanah berumput. Tubuh disandar ke kereta dengan mata meliar memerhati jalan raya yang tampak meriah dengan lampu-lampu kereta menebarkan cahaya kuningnya.
Fadzlan meraup muka. Kemudian melurut rambutnya yang jatuh menutupi dahi. Berpusaran otaknya mengenang perbuatannya terhadap Engku Zubaidah tadi. Biadap! Dia memang biadap! Namun apakan daya, dia dirusuh perasaan itu. Setiap kali terpandangkan Humairah, perasaan itu menyelinap masuk sehingga buat dada dia naik sesak. Fadzlan bertinggung. Kedua belah tangannya melekat di kepala.
“Rose!” Jeritan Fadzlan begitu lantang.
“Rose!” Dia menjerit lagi.
“I’m sorry Rose. I’m sorry!” Lontaran pekikan itu kian mengendur.
Semilir angin malam membawa pergi luahan beban Fadzlan entah ke mana.

HUMAIRAH mengesat airmata. Setiap kali bentakan kasar Fadzlan menerobos jendela telinga, dia diusik kekecewaan. Kecewa kerana dia tidak pernah tahu di mana kekhilafannya. Humairah pejam mata. Ditahan sendu yang datang secara tiba-tiba itu.
Siapa dia sebenarnya?
Kata nenek, tempat dia di sini. Kata Afina, ini keluarganya. Tetapi... kenapa setiap kali dia bertanya tentang latar-belakang dia, nenek mahupun Afina lebih memilih untuk tutup mulut dan memesong topik perbualan daripada terus bercerita kepadanya. Selama hari ini, dia tidak pernah tahu kisah yang telah terpadam dari kotak ingatan. Dia tidak ingat walau satu pun! Dan kebencian Fadzlan menjadi persoalan paling besar dalam dirinya.
Ketukan di pintu yang bertalu-talu mengejutkan Humairah. Pantas dia rebahkan diri dan menarik selimut menutupi separuh tubuhnya. Manakala sebuah novel di meja lampu dicapai. Dia berpura-pura sedang tekun membaca buku yang baru sedikit luak.
“Mai...” Engku Zubaidah menyeru lembut. Wajahnya tersembul di celah pintu yang terbuka sedikit.
Humairah menutup novel itu. Diletak di atas perutnya. Segera ukir senyum buat tatapan Engku Zubaidah yang mula mengorak langkah mendekati dia.
Engku Zubaidah labuh duduk di sisi Humairah. Rambut panjang Humairah dibelai penuh kasih.
“Macam mana kepala tu? Sakit lagi?” Engku Zubaidah menyentuh kain yang membaluti kepala Humairah dengan penuh berhati-hati.
Humairah senyum lagi melihat keprihatinan Engku Zubaidah.
“Mai dah okey dah, nek. Nenek tak payah risaulah.” Humairah berkata.
Engku Zubaidah mengeluh berat. Terbayang-bayang wajah Fadzlan di ruang mata. Budak bertuah betul! Dek kerana Fadzlanlah, Humairah ditimpa kecelakaan. Ini kalau sampai Afina tahu, masaklah Fadzlan dimarahi oleh cucunya itu.
“Pasal Lan tu, nenek nak minta maaf. Selalu sangat dia kecik kan hati Mai kan,” luah Engku Zubaidah penuh kekesalan.
“Eh, apa ni nek? Buat apa nak minta maaf. Bukan salah nenek pun.” Cepat-cepat Humairah membalas.
“Nek, Mai tak kisah pun. Lagipun Mai percaya, Lan tak akan marah atau benci Mai kalau tak bersebab. Mungkin Mai pernah buat jahat kat dia, sebab tu dia marah sangat kat Mai. Sampai allergic macam tu. Tak boleh nampak, nak marah aje,” seloroh Humairah, diiringi tawa yang dibuat-buat. Sedang hakikat hati dia sangatlah terasa dengan sikap, perbuatan mahupun tutur kata seorang lelaki bernama Engku Fadzlan Engku Uzair.
Tak boleh ke nak cakap baik-baik? Atau sekurang-kurangnya pamer layanan mesra? Tak mesra pun, senyumlah sikit dengan ikhlas. Ini tidak. Asyik kena bambu memanjang! Humairah mendongkol geram.
“Mai rehatlah.” Engku Zubaidah menarik selimut itu menutupi sampai paras dada Humairah.
“Esok Mai nak kerja,” beritahu Humairah.
“Mai kan tak sihat. Takkan nak kerja jugak?”
“Yang sakit dahi aje, bukan badan ni,” tuntas Humairah.
Tergeleng-geleng kepala Engku Zubaidah. Banyak perkara yang merisaukan dia sehingga payah hendak melepaskan Humairah. Sebelum ini, Humairah pernah tidak sedarkan diri secara mengejut. Kali ini, kena ragut, jatuh, luka dahi dan pengsan.
“Nenek jangan risau ya. Mai okey!” Humairah mengeyit mata nakal.
Engku Zubaidah terpaksa bersetuju. Dipaksa kepala pamer angguk kecil. Humairah senyum lebar.
“Nenek suruh Lan hantar pagi nanti. Budak tu, kalau dia tak ambil Mai, siaplah dia. Tahulah nenek nak buat nanti.” Engku Zubaidah kancing gigi. Nampak marah benar.
“Nek, tak payah!” Lekas Humairah menolak. “Mai naik Farah aje nanti. Tak payahlah nak suruh Lan.”
“Kenapa? Mai takut Lan marah? Kalau dia duk marah-marah, tengking-tengking Mai, sini, biar nenek pulak yang marah dia. Banyak sangat songehnya.” Engku Zubaidah membebel geram.
“Bukan. Mai dah janji dengan Farah. Nanti apa pulak kata dia,” dalih Humairah.
“Nenek tak percaya!” Sebahagian besar hati Engku Zubaidah ragu-ragu.
“Betul nek.” Humairah meyakinkan.
Kalau itu dikata Humairah, maka dia terpaksa menurut. Engku Zubaidah akhirnya mengendurkan syak yang terbit di sanubari. Humairah mampu kulum senyum lega. Tidak akan pernah bermimpi hendak tumpang Fadzlan lagi. Cukuplah sekali dua dia terpaksa hadap muka tapai itu.

DENGAN penuh berhati-hati, Fadzlan memijak lantai tanpa menghasilkan sebarang bunyi pun. Liar mata pandang kiri kanan. Nampaknya seisi rumah ini sudah pun dibuai mimpi.
Fadzlan mengira anak tangga sampai ke tingkat atas, terus panjangkan kaki menuju ke bilik yang dihuni Humairah. Sebelah tangan memegang sesuatu.
Fadzlan kelihatan ragu-ragu- antara meletak kertas cantingan ayat tulisan tangannya diselitan bawah pintu atau tidak melakukannya. Fadzlan hela nafas. Memberat di rengkungan. Balutan di kepala Humairah memenuhi benaknya.
Akhirnya, Fadzlan merenyukkan kertas tersebut. Digenggam kuat. Kaki mengatur langkah menuruni anak tangga dan menuju ke pintu rumah. Dan dia hilang ditelan kegelapan malam.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Actually, aku sedikit pening menyiapkan Ara ni sigh! Bila laa boleh jumpa Hannani dan juga Ruby ni (?) Tata! 

4 comments:

AYRA ZAHRA said...

hehhee..jgn pening beb nanti dgn aku sekali pening..X lama dah nk siap kphm leh la ko fokus pd Hanani..ngeee..:D

LanLan bila mau baik dgn Mai?

Unknown said...

best...

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ayra

Tunggu lanlan sedar diri sikit,kang baru dia terhegeh2 nak baik dgn mai haa :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

Tenkiuuu sudi baca kphm ;)