"...The seeking of knowledge is obligatory for every Muslim..." - Tirmidhi
Bab 37
SAKIT tulang leher
tak usah dikata. Hendak toleh pandang kanan kiri pun berbisa-bisa mencucuk.
Fadzlan mengusap tengkuk. Ini bahana tidur atas kerusi beralaskan lengan
semata. Entah berpusing tiga ratus enam puluh darjah agaknya kepala dia. Belum termasuk urat pinggang yang dirasakan
berselirat sana sini.
Fadzlan pandang Afina yang lengkap
bertelekung putih lalu depan mata. Mujur dia tidak sakit jantung melihat
keadaan Afina ketika Afina membangunkan dia untuk bersolat berjemaah.
Fadzlan berteleku di atas kerusi di
ruang tamu. Sesekali ekor mata melirik ke bilik solat di tepi tangga. Dia
nampak Humairah sedang duduk bersimpuh di sisi Engku Zubaidah. Wajah gadis itu
murung. Ralit memerhatikan tingkah Humairah sehingga tidak menyedari Afina
sudah pun duduk di sebelahnya.
“Tengok apa tu?” Afina menegur. Peha Fadzlan ditepuk kuat.
Fadzlan terperanjat. Tepukan itu meninggalkan denyutan berbisa.
Berkerut-kerut muka Fadzlan.
“Malam tadi kau ke mana? Kenapa tak datang rumah mak long?” tanya Afina.
Lirikan mata Afina
memicing ke arah Fadzlan.
Fadzlan menyandarkan tubuh.
Merehatkan badan yang sakit-sakit. Dah agak dah, Afina pasti bertanya.
“Keluar,” jawabnya serba ringkas.
Membuntang mata Afina. Lengan
Fadzlan dicubit-cubitnya. Fadzlan mengaduh kesakitan.
“Aku bawa Humairah sekalilah, kak.”
Cepat-cepat Fadzlan memberitahu.
Sekelipan, jari Afina yang ligat
mengetam lengan Fadzlan langsung terhenti. Renungan curiga pula menghunus ke
wajah adik lelakinya itu.
“Apa?” Afina melebarkan telinga.
“Aku bawa Humairah sekali. Dah
lambat sangat masa tu. Daripada tebal muka datang lewat, baik tak payah datang
terus. Alah, mak long bukannya kisah pun.” Fadzlan memberikan alasan yang
dirasakan mampu diterima akal Afina meski keadaan yang berlaku adalah
sebaliknya. Afina mengetap bibir. Tangan sudah di pinggang.
“Betul lah kak. Buat apa aku nak tipu?”
Fadzlan berkata penuh keyakinan.
Afina menunjal pipi Fadzlan.
“Kau dah kenapa, Lan? Sakit?”
Jari telunjuk Afina ditepis. “Apa ni
kak?” dengusnya geram. Buat baik, salah. Tak buat baik, lagilah salah.
“Aku bermalam sini sebab malam tadi
mengantuk sangatlah, kak. Sakit mata aku ni.” Bersungguh-sungguh dia bercerita.
Kisah sebenar? Sebaik sahaja dia membaringkan Humairah yang tidak sedarkan diri
itu di seat belakang, dia pecut kereta menyusuri jalanraya sambil mata melikas
liar menyoroti bangunan-bangunan yang berderet di tepi jalan. Kecewa bila mana
tiada satu pun klinik yang beroperasi di kawasan tersebut.
Maka, dia pandu kereta pulang ke
kediaman Engku Zubaidah. Sekali lagi dia mencempung tubuh layu itu dan gigih
mengira anak tangga naik tingkat atas. Tubuh itu dibaringkan elok-elok atas
katil dan diselimuti dengan comforter bunga-bunga. Hendak ditinggalkan
Humairah, hati terasa berat. Oleh sebab itu dia ambil keputusan menunggu
sehingga Afina dan Engku Zubaidah balik. Rupanya, sampai ke sudah dia berdengkur
elok di ruang tamu berbantalkan lengan dan beralaskan sofa panjang.
Sedar-sedar, Afina yang bertelekung putih kejutkan dia. Mahu tak luruh jantung.
Ingatkan hantu mana.
Fadzlan menoleh memandang Afina.
Kakaknya itu menyepi di sebelah dia. Sepasang mata itu melorong ke arah bilik
solat.
“Kak Fina risaukan Mai,” keluh
Afina. Kembali menusuk renungan pada Fadzlan yang memerhatikannya.
“Apa yang akak risaukan?” Hati kecil
Fadzlan bagai ditarik-tarik hendak mengetahui isi hati Afina. Selama hari ini,
Afina banyak membela Humairah tatkala gadis itu sering dihunus kemarahannya.
Afinalah yang berdiri teguh di belakang Humairah saat gadis itu teraba-raba
dalam dunia serba asing.
“Hati Kak Fina ni tak senang.” Afina
berkata.
Fadzlan mendalami tutur bicara itu
sehalusnya. Eh, jarang benar Afina berperasaan begini. Dan jarang sungguh Afina
berkongsi rasa dengannya. Tidak lepas mata Fadzlan menyoroti wajah Afina.
“Dahlah. Kak Fina nak sediakan
breakfast. Alang-alang Lan ada ni, kita breakfastlah sekali. Hari Sabtu, Lan
tak kerja kan?” Afina angkat punggung. Sempat menepuk bahu Fadzlan sebelum
panjangkan kaki menuju ke ruang dapur meski di luar sana, kegelapan belum pudar
warnanya.
Fadzlan memerhati lenggok Afina
sehingga hilang dari penglihatan. Dia menekup wajah. Tersekat terus niat hati
memberitahu kes Humairah yang pengsan malam tadi bila menyedari keresahan Afina
yang mendatang secara tiba-tiba.
Kau sakit apa sebenarnya Humairah?
Suara hati berbisik halus. Renungan melayang ke arah Humairah yang masih duduk
bersama Engku Zubaidah. Dia terus memerhati tingkah gadis itu. Dalam tidak
sedar, perasaan yang cuba dikambus lama dulu, kian meronta-ronta hendak keluar.
“INI keluarga kamu,
Mai. Mai ada nenek, Mai ada Kak Fina. Malah Mai ada Fadzlan. Kami semua keluarga
Mai.”
Ah, cukup meyakinkan! Takkan nenek,
kakak sepupu dan abang sepupu semata? Mana ibu dan ayah dia? Kenapa tidak
ditunjukkan sahaja kepada dia siapa kedua orang tuanya? Atau mungkin ada
adik-beradik lain? Mengapa Engku Zubaidah dan Afina langsung kunci mulut andai
dia membangkitkan isu ‘keluarga’ yang sepatutnya dia ingat?
Humairah melunjurkan kaki. Tangan
didepa. Manakala kepala didongak pandang siling.Di siling putih itu, dia nampak
lukisan wajah Rosnah. Senyuman dan tawa Rosnah menggigit sanubari. Rindu! Dia
rindukan nenek di sana. Humairah hela nafas. Mata dipejam rapat. Kegelapan itu
ditemani imbasan dan bayangan yang pernah dialami sebelum ini. Malah relung
mimpi malam tadi pun terpahat kuat di ingatan.
“Ehem!”
Humairah tersentak. Susuk tubuh
tinggi lampai Fadzlan terbias di ruang mata. Kaki yang terjulur gaya orang
pemalas itu dibawa turun memijak lantai. Disopankan duduknya waktu itu. Dia
kerling sekilas lelaki itu.
Tanpa dipelawa, Fadzlan duduk di
sebelah Humairah. Seorang di hujung sana, dan seorang lagi di hujung sini. Di
tengah-tengahnya ada ruang kosong. Muat seorang dua ikut menyempit di situ.
Humairah tidak ambil pusing pun
kewujudan Fadzlan. Fikiran dia kembali menerawang mencari Rosnah, menggali
semula mimpi-mimpi itu, memadankan relung waktu asing yang sering mengheret dia
ke dalamnya dan cuba mencipta konklusi sendiri.
Banyak-banyak orang, kenapa dia
mimpikan Rosnah? Bukankah itu menimbulkan banyak tanda-tanya? Kebetulan jugakah
Rosnah ada cucu bernama ‘Humairah’ yang telah hilang tanpa jejak sehingga kini?
Humairah mengusap dahi sendiri. Pening!
Ara... ‘Humairah’ yang seorang lagi-
kerap muncul dalam ilusi. Sering membisik bicara yang menokok lagi keserabutan
akal fikiran.
“Ehem!” Fadzlan berdehem lagi.
Kelakuan Humairah menggamit perhatiannya.
Humairah masih ‘hilang’. Tidak
menyedari Fadzlan memandang dia dengan tajam.
“Eh, pagi-pagi buta pun dah ada
dinasour ungu!” Fadzlan sengaja meninggikan suara. Teruja kononnya hadap Barney
yang berjoget-joget di kaca televisyen.
Sekilas Humairah melirik mata. Dah
kenapa ni? Tengok Barney pun jakun?
“Kau ni berat jugak, kan? Sakit
tangan, pinggang aku ni cempung kau bawa naik atas bilik tu ha,” ujar Fadzlan.
Hujung jari menekan punat biru bernombor 3. Menukar siaran lain. Bukan taste
dia layan dinasour ungu. Zaman tersebut sudah pun berlalu. Sekarang
masing-masing melayan Barney Stinson.
Terbejat lamunan Humairah. Dia toleh
lagi. Bertaut keningnya.
“Kau lupa?” Fadzlan menyilang kaki.
Pandangannya tepat menghunus ke wajah Humairah.
“Tak mahu pergi rumah mak long,
pergi dataran lepak-lepak konon nak cari ketenangan. Then... tup-tup kau
pengsan.” Fadzlan menceritakan sedikit retetan hidup Humairah lewat malam tadi.
Ternyata, gadis itu tidak ingat.
“Kau pengsan, tak sedarkan diri. Aku
ni yang angkut kau bawa balik rumah. Tangan ni yang angkat kau tahu!”
Termuncung-muncung mulut Fadzlan. Kedua belah tangannya di angkat tinggi.
“Tak ingat?”
Humairah menggeleng. Fikirnya, itu
sebahagian daripada mimpi yang dialami. Kepala diketuk-ketuk. Jelaslah, keadaan
dia semakin kritikal. Tidak dapat membezakan realiti atau ilusi.
Fadzlan hela nafas. Dah tak ingat,
nak buat macam mana. Fadzlan bangun. Berkira-kira hendak melanjutkan perjalanan
pulang ke rumah sewa.
Selangkah. Dua langkah. Tiga
langkah.
Fadzlan memaling wajah. Diperhati
keadaan Humairah yang melangut di atas sofa. Riak muka Humairah berubah-ubah.
Seperti sedang menanggung beban yang memberat dalam otak.
“Humairah..”
Humairah membuang perhatiannya ke
arah Fadzlan.
“Take care,” ucapnya sepatah sebelum
lekas meninggalkan ruang itu.
Humairah terkebil-kebil. Take care?
Sepanjang dia kenal Engku Fadzlan Engku Uzair, lelaki itu tidak pernah berkata
begitu, apatah lagi sudi duduk bersama dengannya seperti tadi.
Sakit ke dia?
PINTU bilik ditolak
perlahan. Meliar mata Fadzlan meratahi segenap pelusuk bilik bertemakan warna
merah jambu dan ungu. Warna yang menjadi kegemaran Rose Harliana. Nampaknya
bilik ini dijaga dengan rapi. Bersusun barang-barang kepunyaan arwah tunangnya
itu.
Kaki melangkah masuk ke dalam bilik
itu. Mata dipejam rapat. Tangan di depan memeluk udara yang menampar lembut.
Bayangan Rose Harliana bermain di ruang mata. Senyuman gadis berambut panjang
mengurai ikal di hujungnya menggamit memori lama.
“Rose, I’m sorry...” Bibir bergerak
berbisik kata maaf. Dia tahu dia tidak kuat saat berdepan dengan kenyataan ini
meski sudah hampir empat tahun berlalu.
“Fadzlan.” Suara Hardina, ibu kepada
Rose Harliana menyelinap ke jendela telinga. Fadzlan berpaling ke belakang. Pandangannya
disambut dengan senyuman manis wanita itu. Hardina menghampiri Fadzlan. Berdiri
di samping bekas bakal menantunya itu sambil menyoroti persekitaran bilik
sederhana besar ini.
“Banyak kenangan dalam bilik ni. Tak
pernah berkurang, malah kenangan tu sentiasa ada,” kata Hardina. Sebak dada
tiba-tiba. Bergulung-gulung kesedihan cuba disembunyikan dari penglihatan suami
dan anak-anak yang lain. Rose Harliana satu-satunya anak perempuan yang menjadi
kesayangannya. Selama hampir empat tahun ini dia cuba menerima takdir meski
perit untuk ditelan.
Fadzlan memahami perasaan Hardina.
Dia sendiri sukar melupakan kejadian itu, apatah lagi Hardina dan keluarga.
Matinya Rose Harliana selepas diputuskan penggunaan oksigen yang menjadi nadi
kepada Rose Harliana terus hidup. Terlalu tragis untuk diingati.
“Marilah kita turun. Auntie ada
sediakan sikit minum petang,” ajak Hardina. Enggan berlama-lama di dalam bilik
itu. Nanti mengundang esak tangis sahaja.
Fadzlan mengangguk tetapi dia
meminta lebih masa. Barang seminit dua. Ingin ini kembali mendakap kenangan
Rose Harliana yang bersisa di bilik ini. Hardina mengangguk, lantas
meninggalkan Fadzlan bersendirian di dalam bilik itu.
Sebuah album gambar- di kulit
depannya tertulis ‘Cinta Hati’ dibelek Fadzlan. Terabadi momen-momen dia
bersama Rose Harliana di situ. Fadzlan ukir senyum nipis. Tersingkap anak mata
ke arah seekor anak patung beruang bersaiz kecil berwarna coklat terletak di
hujung meja. Fadzlan masih ingat, itu pemberian pertama darinya kepada Rose
Harliana selepas mereka bertunang. Rose Harliana mengulum senyum lebar waktu
itu.
Fokus Fadzlan kembali semula pada
album tadi. Dia belek sehingga ke helaian terakhir. Hujung jari menyentuh
cebisan-cebisan kertas tebal yang terselit dicelah-celah helaian terakhir. Satu
per satu disusun mengikut sisi yang terkoyak. Apabila cebisan-cebisan kertas
itu berjaya disatukan, membuntang mata Fadzlan. Menggigil jari-jarinya.
Dia... Rose tahu?!
Menderu nafas Fadzlan di rengkungan.
Peluh-peluh dingin membasahi dahi.
“Lan! Mari turun!” Laungan Hardina
mengejutkan Fadzlan. Tangkas ditutup album gambar itu. Laju kaki melangkah
meninggalkan bilik Rose Harliana.
Angin deras tiba-tiba menyusup masuk
melalui tingkap yang terbuka, membelah ruang bilik yang sunyi. Cebisan kertas
yang terkeluar dari album tersebut berterbangan ke udara sebelum jatuh ke
lantai. Sekali lagi angin menderu deras, menterbalikkan cebisan kertas
tersebut. Ia cebisan seraut wajah yang indah mengenakan tudung biru, bersulam
senyuman manis di pinggir bibir. Dia... Humairah.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Suara iolss ni dah macam penyanyi rockerss yeahyeahhh! -..-' Sabar ajela. Nak cakap punya payah. Mujur tak putus nafas -..-' Tata!
8 comments:
ooowwhhh.... Fadzlan dulu penah suka kat Humairah ke...
Finally! Masuk gak n3 ni...xpuas btl la..rase mcm sikit sgt la awk..lg2 bg ending mcm tu..stress kite..huhuhu..
Dh masuk bab dup dap dup dap ni..cpt2 la dtg nxt wednesday :D
@jayda
Antara mereka pernah ada ikatan hati hihi
Btw..tq drop sini :)
@anonymous
Hi awak! :) mekasih sbb sudi baca kphm ni hihi :)
Sikit?kite rase mcm dah berjela hihi sabar ye :) next rabuday ada entri :)
Tq again! :)
Mmg dh bookmark kat fon...ari rabu je cpt2 bukak tgk dh naik ke blm n3 ni...heeeee..
Xkn si Fadzlan lupa kot yg dia pnh tlg si Ara tu dl masa kena kacau kat town? Ish ish...sapa yg amnesia ni? Ahaks! Ghase nk ketuk je pala si Lan tu..hu3
lupa lak nk ckp tq for tis n3 :)
@anonymous
:) thanks 2 u too sbb sudi bookmark blog kite.terharu :)
bila nk abih ni akak T.T
@ilman_nafi
Hi sis :)
Lama lg darling nak habis kphm ni.ehem! :) tp tak laa lama sgt :)
Tnggu dan lihat ye hihi thanks drop sini :)
Post a Comment