"...Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari murka dan seksa-Nya, dan hembusan-hembusan syaitan agar mereka tidak menyentuhku..." - HR Abu Dawud
Bab 10
TUBUH dihempas
kasar atas katil. Dia terlentang dengan mata membulat merenungi siling. Perbualan
yang didengari secara tidak sengaja tadi memutikkan perasaan tidak puas hati.
Fatma mengepal penumbuk.
“Saya ingat nak serahkan butik yang
satu lagi tu dekat Amiera.”
“Baguslah tu. Dah sampai masa kita
serahkan sesuatu yang memang menjadi hak dia.”
Berdengung suara ibu dan ayahnya di
pendengaran. Menambah rasa sebal yang sedia membelit diri.
‘Mudahnya ibu hendak menyerahkan
butik itu kepada Amiera. Apa hak perempuan itu? Hidup pun menumpang ehsan orang
lain!’ Fatma mencebik. Bohonglah kalau dia tidak marah. Sepatutnya butik itu
jatuh ke tangannya atau Sarah, bukan Amiera, budak tidak sedar diri itu.
Tambahan pula, dia yang selalu
ulang-alik ke butik untuk memastikan perniagaan butik berkenaan berjalan
seperti yang dihendaki oleh Tasneem.
Fatma bingkas duduk. Jeritan Sarah
seolah memberi isyarat kepadanya tentang kemunculan Amiera di rumah ini.
Kemunculan yang konon dinanti Tasneem dan Shahreza sejak pagi tadi.
Lambat-lambat dia keluar dari bilik. Kemudian memaksa kaki menuruni anak tangga
ke tingkat bawah.
Terlihat kelibat Fatma, Amiera lekas
mendapatkan gadis itu.
“Apa khabar, Kak Ema?” Tangan
diunjuk ke hadapan.
“Sihat.” Fatma menjawab sepatah.
Hujung jarinya sahaja yang menyentuh unjukan tangan Amiera.
“Ema, tolong buatkan air untuk Mira
ya sayang,” kata Tasneem. Kulum senyumnya sampai ke telinga. Tidak sabar-sabar
hendak meluahkan hasrat hati. Suami pula sudah berkali-kali tunjuk isyarat
supaya dia menahan gelojak perasaan sendiri. Malah dinasihati agar tidak
memasang angan tinggi melangit. Kelak makan hati.
Fatma menurut tanpa banyak mulut,
walau pada dasarnya dia mendongkol geram. Terus menghilang di sebalik dinding
yang memisahkan ruang depan dan dapur.
“KAMI berhajat nak
satukan Mira dan Amal.”
Sebaris ayat itu mampu membuatkan
Amiera kaku membeku. Terasa persekitaran turut sama pegun. Deru nafas yang
terhembus perlahan itu mampu mencapai pendengaran sendiri. Bergerak-gerak anak
mata Amiera meratahi paras Tasneem. Senyum manis wanita itu semakin melebar.
Membuat separuh dirinya hampir lumpuh.
Tasneem mencapai tangan Amiera.
Jari-jari runcing itu digenggam erat. Duduknya menghampiri Amiera yang masih
diam tidak berkutik.
“Amal satu-satunya anak lelaki kami
dan kami mahukan yang terbaik untuknya. Tak ada sesiapa yang layak bersuamikan Amal
kecuali Mira.” Lembut Tasneem berbicara. Dalam pada menutur kata, Tasneem
sempat membuang pandang ke arah suaminya. Shahreza tidak menyampuk walau
sepatah.
“Ibu sayangkan Mira macam anak
kandung ibu sendiri. Tak sanggup rasanya ibu nak lepaskan Mira pada orang lain.
Amal anak ibu. Mira pun anak ibu. Ibu tahu, kamu berdua akan saling
melengkapi.”
Kata-kata itu antara dengar dan
tidak di telinga Amiera. Terasa suara Tasneem berada jauh di hujung dunia.
“Amiera...” Giliran Shahreza buka
mulut.
Amiera menoleh. Bertempur pandang
dengan lelaki itu.
“Kami tak memaksa Amiera untuk
terima bulat-bulat cadangan kami. Sekadar memberitahu hasrat hati ingin
bermenantukan Amiera. Keputusan tetap di tangan kamu sendiri. Sama ada Amiera
terima atau menolak, itu hak Amiera. Kata orang tu, hati tak boleh
dipaksa-paksa.” Shahreza melarik senyum. Dia tahu Amiera terkejut besar
mendengar bicara isterinya tadi. Sebab itu Amiera tidak berkata sepatah pun.
Hanya duduk diam bagaikan batu.
“Amiera fikirlah dulu. Kami terima apa
sahaja keputusan Amiera nanti.” Shahreza melanjutkan bicara lagi.
BELUM pun sempat
dia menapak masuk ke dalam rumah, Tasneem terlebih dahulu menerpa ke arahnya.
Wanita itu tersenyum-senyum padanya.
“Apa?” Membulat mata Ekmal sebaik
Tasneem memberitahu sesuatu kepadanya. Seolah tidak percaya.
“Iya, ibu dah beritahu pada Amiera
tentang hal tu,” tutur Tasneem.
Ekmal telan liur. Degup jantung
semakin ketara pantas debarnya.
“Dia cakap apa, bu?” Lambat-lambat
Ekmal bertanya.
Tasneem menarik Ekmal agar mereka
duduk di ruang tamu. Anak bujang itu menurut.
“Amiera tak beri apa-apa keputusan
lagi. Kami beri dia masa untuk berfikir. Sama ada dia terima atau tak, kami tak
kisah. Yang penting hasrat itu dah disampaikan kepada tuan badan. Mudah-mudahan
jawapan tu nanti tak mengecewakan.” Tasneem berkata, disertai senyum kecil
melingkari ulas bibirnya.
Terhembus hela nafas yang memberati
rengkungan. Ekmal merasakan degupan jantungnya lebih hebat berbanding tadi.
Menunggu jawapan itu pasti menyeksakan.
“Kalau Amiera terima, ibu rancang
nak kahwinkan engkau orang berdua secepat yang mungkin. Hari ini tunang, minggu
depan nikah. Lepas tu buat majlis kahwin.” Menderu untaian kata itu dari mulut
Tasneem dengan sekali nafas sahaja. Ekmal pula sudah terkebil-kebil mata
mendengarnya.
“Ekmal...” panggil Tasneem.
“Iya bu.” Ekmal menyahut.
Tasneem mengusap lengan Ekmal. Kolam
mata beriak tenang itu ditatap lama.
“Amal betul sayangkan Mira?” aju
Tasneem.
Serta-merta Ekmal pamer angguk
kepala. Tiada sebab untuknya menyembunyikan perasaan yang sedia bergulir dalam
diri bertahun lamanya. Sudah terlanjur ibu bertanya, adalah lebih baik dia
berterus-terang sahaja.
“Kali ni bukan paksaan, kan?”
Tasneem meleret senyum.
Spontan Ekmal tertawa kecil.
Gelihati mendengar pertanyaan ibunya. Kali ini memang tiada unsur paksaan. Rela
sepenuhnya.
Dia boleh diibaratkan bagai orang
mengantuk yang disorong bantal. Sekian lama memendam perasaan, cuba memenangi
hati Amiera namun gadis itu menolak dia secara terang-terangan. Hasrat kedua
ibu bapa menjodohkan dia dengan Amiera bagaikan sebuah mimpi yang jadi nyata.
Ekmal menyimpul rasa bahagia dalam hati. Meski Amiera belum memberi apa-apa
keputusan muktamad, dia yakin gadis itu tidak akan menolak. Amiera terikat
sesuatu dengan keluarga ini. Bukan mengungkit tetapi itulah hakikatnya.
“Kalau Sarah tak beritahu ibu, tentu
ibu tak perasan.”
“Hah?” Bukan main besar bukaan mulut
Ekmal. Rahangnya jatuh ke bawah.
“Sarah? Sarah cakap apa dekat ibu?”
Sebelah kening lelaki itu terjongket tinggi ke atas. Seolah menzahirkan
kata-kata hati yang berbunyi ‘jaga kau dik. Siap kau nanti abang kerjakan.’
“Adik Amal kata, Amal dah lama suka
dekat Amiera tu. Sebab tu tak pandang langsung pilihan ibu sebelum ni. Kerjanya
asyik nak reject aje.” Dicuit-cuit
pinggang Ekmal.
“Pandai-pandai aje budak Sarah tu.
Ibu percayalah sangat cakap anak manja ibu tu,” cebik Ekmal.
Meletus tawa Tasneem. Peha Ekmal
ditepuk kuat.
“Kena berterima kasih dekat adik
tau. Kalau bukan dia buka mulut hari tu, tiba-tiba cakap fasal Amal, ibu ni
langsung tak nampak apa yang ada dalam hati Amal. Ha, peninglah Amal nak layan
kerenah ibu nanti matchingkan Amal
dengan anak kawan-kawan ibu, macam yang selalu ibu buat tu,” tokok Tasneem.
Ulas bibirnya masih giat menguntum senyum lebar.
Ekmal garu kepala. Pelbagai riak
menakungi wajahnya.
“Kejap lagi masuk dapur. Ibu nak
hidangkan makanan untuk Amal.” Tasneem bingkas berdiri.
“Ayah mana bu?” soal Ekmal. Dari
tadi kelibat Shahreza tidak terlihat di mata.
“Ayah Amal tu macam biasalah. Hujung
minggu macam ni mana nak lekat dekat rumah. Adalah tu aktiviti dia dekat
sekolah,” beritahu Tasneem. Suaranya sayup-sayup kedengaran dari ceruk dapur.
Belum sempat meredakan gelojak
perasaan saat berbicara dengan Tasneem, muncul pula Fatma dengan simpul senyum
yang nyata dibuat-buat. Dia tidak tahu sejak bila Fatma berubah jadi begini
sinis. Tidak sebulu dengan mereka adik-beradik. Apatah lagi dengan Amiera.
“Happy
dengar berita yang ibu sampaikan tadi?” Fatma mengerling sekilas. Alat kawalan
jauh peti televisyen dicapai. Butang merah di sudut kiri ditekan sekali.
“Berita apa?” Pandangan mata
dilorong menatap skrin kelabu televisyen yang beransur-ansur mencerah.
Hujung bibir Fatma melarik senyum.
Sedikit.
“Kan ke abang bakal berkahwin dengan
perempuan tu?” Sengaja menekan suara di hujung bicara.
“Untung jadi Amiera Syazreen. Diberi
keutamaan dari segala segi,” gumam Fatma.
“Kenapa Ema cakap macam tu?” Rendah
Ekmal melontar bicara.
Fatma menoleh. “Takkan abang tak
faham?”
Untuk seketika, dua beradik itu
saling bertempur pandang.
“Be
prepared, abang. Dalam masa terdekat ni, tentu Amiera akan menyatakan
persetujuannya untuk menjadi isteri abang. Kalau pun tak suka, dia tetap
terima.”
Berkerut dahi Ekmal. Timbul
garis-garis halus di situ.
MATA terbuntang
serta-merta. Daripada mendongak menjulang dada langit, kini dia memerhatikan
jari-jemari sendiri. Entah kenapa, ilusi mata memetakan sebentuk cincin melekat
di jari manis tanpa rela. Terhembus udara melepasi salur nafas. Berat. Sungguh
berat.
Mereka tidak memaksa tetapi dari
cara Tasneem memandang dia dan berkata kepadanya, dia tahu wanita itu berharap
agar hasrat bermenantukan dia dipersetujui.
Kelopak mata dipejam kembali.
Angkasa raya minda ligat mencongak bicara Tasneem tadi. Dia cuba mencari
ketenangan jiwa. Kala itu, wajah Tasneem merangkul ingatan. Kemudian roman
mesra Shahreza pula. Diikuti raut putih berjambang halus milik Ekmal.
“Mira!” Maya memanggil kuat.
Terjengul susuk tubuh itu di tengah pintu.
“Kau buat apa dekat luar sorang-sorang
ni?” Amiera dihampiri. Sejurus itu, duduknya dilabuhkan berhampiran gadis itu.
Rambutnya yang meliuk-liuk disapa angin lembut, segera disimpul dan dirapikan
ke bahu kiri.
“Aku cakap dengan tunggul ke?” Dia
berkata sinis.
“Aku ni manusia, bukan tunggul.”
Amiera menyahut.
“Dah tu?” Maya jongket kening,
seraya berpeluk tubuh.
“Ke stress kan kerja dekat office?
Aku dengar, company kau tengah handle projek besar. Hang Tuah jadi figure. Aku
dah terbayangkan M. Nasir, tak pun P.Ramlee.” Maya menguntum senyum.
Amiera mengerut dahi. Pandangannya
terarah pada Maya yang kelihatan begitu menikmati hembusan angin malam nan
dingin.
“Mana kau tahu?” soalnya curiga.
“Well, apa guna ada jiran sebelah
rumah? Kau ni pun, tak cakap yang Adlan tu pun kerja sama tempat dengan kau.
Ceh!” Maya mencebik.
Lentur pipi seumpama dipaksa-paksa
membiaskan senyum kecil. Padanya senyum itu sekadar menjadi tempelan bagi
segala bebanan permintaan keluarga di sebelah sana.
“Kau dengan orang sebelah, memang
macam ni eh?” Jari kelengkeng di taut rapat. Lalu dipertontonkan kepada Maya.
Gadis itu menekup mulut. Suara
tawanya curi-curi keluar melalui celah-celah jarinya.
“Apa? Ingat aku tak boleh bestfriend
dengan Adlan tu?”
Mengekek Amiera ketawa.
“Mesti kalau dia tercari-cari kalau
tak nampak kau nanti.”
“Dia tak cari aku tapi kau.”
Buntang mata Amiera. “Aku pula?”
“Ya... tunang kau call!” Pekikan
Dayana membantutkan otot lidah Maya meluncur kata. Bingkas laju mengejar Dayana
yang sudah menghulur telefon bimbit dari tingkap.
Ulah buru-buru Maya, dan kemudian
melihat gaya manja gadis itu membuatkan Amiera tersenyum panjang. Kisah Maya
begitu manis. Tidak pernah kenal siapa lelaki yang bakal menjadi suaminya
beberapa purnama lagi, malah berjumpa juga hanya sekali sewaktu majlis
bertunang dulu. Mereka hanya berhubung melalui telefon. Kekerapan yang boleh
dibilang menggunakan jari.
Kata Maya, pilihan keluarga adalah
yang terbaik. Oleh sebab itu, apabila orang tua Maya berhasrat menjodohkan dia
dengan anak kenalan rapat mereka, Maya tidak membantah langsung. Malah
menerimanya dengan hati terbuka.
‘Mampukah aku menjadi seperti Maya?’
Hati menduga-duga.
Jari-jarinya mengurut pilipis dahi.
Berdenyut-denyut.
Permintaan Tasneem dan Shahreza
kembali menduduki fikiran. Terasa beban itu memberati kedua-dua bahunya.
“Ibu sayangkan Mira macam anak
kandung ibu sendiri.”
Udara
yang berhembus seakan membawa sekali bicara Tasneem. Berulang kali.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Tidur.
5 comments:
Ok...mula2 sis nk ucapkan tahniah sbb kisah Humairah nak diterbitkan. Jgn lupa upd sis tau terbitan siapa. KPHM tu kena tukar tajuk sbb dh ada novel lain guna tajuk tu kan? Well...gud luck figuring out d new title ya..inshaAllah dipermudahkan..
Usah Lepaskan...another one of my fave. Sis suka both hero..si abg angkat dan inche bos..hihihi..awak ada nk tambah character lg ke? Sis dh nk lost track..hhahaha.. Anyway, thx for tis n3..skang dh mcm berbelah bagi lak nak cheer utk si abg angkat atau inche bos..kihkihkih.. <3
@nveladdct
Hai sis! :)
Insya-Allah..kite akan heboh2kan hihi
Sbnrnye sis,cast dia setakat tu aje.cuma watak ayah kndung amiera je yg tak dikeluarkan lg walau dah sebut2 hihi :) InsyaAllah..kite akan pastikan sis tak lost lame2 sgt hihi lg pon ceta ni simple je :D
yeahhh tahniah beb cite Humaira akan kaur nanti. Aku pun excited nih nk tgk baby no 2 kau. Roger2 tajuk baru ya..hihihihi.. -TPH- :D
@ayra
Kau laa mangsa dikala otak aku blank.mekasih syg! :D
hahaha..sama2 . alah ko pun selalu jd mangsa aku .ngeee..:D
Post a Comment