Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab10.

Assalamualaikum.








"...Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari murka dan seksa-Nya, dan hembusan-hembusan syaitan agar mereka tidak menyentuhku..." - HR Abu Dawud









Bab 10
TUBUH dihempas kasar atas katil. Dia terlentang dengan mata membulat merenungi siling. Perbualan yang didengari secara tidak sengaja tadi memutikkan perasaan tidak puas hati. Fatma mengepal penumbuk.
            “Saya ingat nak serahkan butik yang satu lagi tu dekat Amiera.”
            “Baguslah tu. Dah sampai masa kita serahkan sesuatu yang memang menjadi hak dia.”
            Berdengung suara ibu dan ayahnya di pendengaran. Menambah rasa sebal yang sedia membelit diri.
            ‘Mudahnya ibu hendak menyerahkan butik itu kepada Amiera. Apa hak perempuan itu? Hidup pun menumpang ehsan orang lain!’ Fatma mencebik. Bohonglah kalau dia tidak marah. Sepatutnya butik itu jatuh ke tangannya atau Sarah, bukan Amiera, budak tidak sedar diri itu.
            Tambahan pula, dia yang selalu ulang-alik ke butik untuk memastikan perniagaan butik berkenaan berjalan seperti yang dihendaki oleh Tasneem.
            Fatma bingkas duduk. Jeritan Sarah seolah memberi isyarat kepadanya tentang kemunculan Amiera di rumah ini. Kemunculan yang konon dinanti Tasneem dan Shahreza sejak pagi tadi. Lambat-lambat dia keluar dari bilik. Kemudian memaksa kaki menuruni anak tangga ke tingkat bawah.
            Terlihat kelibat Fatma, Amiera lekas mendapatkan gadis itu.
            “Apa khabar, Kak Ema?” Tangan diunjuk ke hadapan.
            “Sihat.” Fatma menjawab sepatah. Hujung jarinya sahaja yang menyentuh unjukan tangan Amiera.
            “Ema, tolong buatkan air untuk Mira ya sayang,” kata Tasneem. Kulum senyumnya sampai ke telinga. Tidak sabar-sabar hendak meluahkan hasrat hati. Suami pula sudah berkali-kali tunjuk isyarat supaya dia menahan gelojak perasaan sendiri. Malah dinasihati agar tidak memasang angan tinggi melangit. Kelak makan hati.
            Fatma menurut tanpa banyak mulut, walau pada dasarnya dia mendongkol geram. Terus menghilang di sebalik dinding yang memisahkan ruang depan dan dapur.

“KAMI berhajat nak satukan Mira dan Amal.”
            Sebaris ayat itu mampu membuatkan Amiera kaku membeku. Terasa persekitaran turut sama pegun. Deru nafas yang terhembus perlahan itu mampu mencapai pendengaran sendiri. Bergerak-gerak anak mata Amiera meratahi paras Tasneem. Senyum manis wanita itu semakin melebar. Membuat separuh dirinya hampir lumpuh.
            Tasneem mencapai tangan Amiera. Jari-jari runcing itu digenggam erat. Duduknya menghampiri Amiera yang masih diam tidak berkutik.
            “Amal satu-satunya anak lelaki kami dan kami mahukan yang terbaik untuknya. Tak ada sesiapa yang layak bersuamikan Amal kecuali Mira.” Lembut Tasneem berbicara. Dalam pada menutur kata, Tasneem sempat membuang pandang ke arah suaminya. Shahreza tidak menyampuk walau sepatah.
            “Ibu sayangkan Mira macam anak kandung ibu sendiri. Tak sanggup rasanya ibu nak lepaskan Mira pada orang lain. Amal anak ibu. Mira pun anak ibu. Ibu tahu, kamu berdua akan saling melengkapi.”
            Kata-kata itu antara dengar dan tidak di telinga Amiera. Terasa suara Tasneem berada jauh di hujung dunia.
            “Amiera...” Giliran Shahreza buka mulut.
            Amiera menoleh. Bertempur pandang dengan lelaki itu.
            “Kami tak memaksa Amiera untuk terima bulat-bulat cadangan kami. Sekadar memberitahu hasrat hati ingin bermenantukan Amiera. Keputusan tetap di tangan kamu sendiri. Sama ada Amiera terima atau menolak, itu hak Amiera. Kata orang tu, hati tak boleh dipaksa-paksa.” Shahreza melarik senyum. Dia tahu Amiera terkejut besar mendengar bicara isterinya tadi. Sebab itu Amiera tidak berkata sepatah pun. Hanya duduk diam bagaikan batu.
            “Amiera fikirlah dulu. Kami terima apa sahaja keputusan Amiera nanti.” Shahreza melanjutkan bicara lagi.

BELUM pun sempat dia menapak masuk ke dalam rumah, Tasneem terlebih dahulu menerpa ke arahnya. Wanita itu tersenyum-senyum padanya.
            “Apa?” Membulat mata Ekmal sebaik Tasneem memberitahu sesuatu kepadanya. Seolah tidak percaya.
            “Iya, ibu dah beritahu pada Amiera tentang hal tu,” tutur Tasneem.
            Ekmal telan liur. Degup jantung semakin ketara pantas debarnya.
            “Dia cakap apa, bu?” Lambat-lambat Ekmal bertanya.
            Tasneem menarik Ekmal agar mereka duduk di ruang tamu. Anak bujang itu menurut.
            “Amiera tak beri apa-apa keputusan lagi. Kami beri dia masa untuk berfikir. Sama ada dia terima atau tak, kami tak kisah. Yang penting hasrat itu dah disampaikan kepada tuan badan. Mudah-mudahan jawapan tu nanti tak mengecewakan.” Tasneem berkata, disertai senyum kecil melingkari ulas bibirnya.
            Terhembus hela nafas yang memberati rengkungan. Ekmal merasakan degupan jantungnya lebih hebat berbanding tadi. Menunggu jawapan itu pasti menyeksakan.
            “Kalau Amiera terima, ibu rancang nak kahwinkan engkau orang berdua secepat yang mungkin. Hari ini tunang, minggu depan nikah. Lepas tu buat majlis kahwin.” Menderu untaian kata itu dari mulut Tasneem dengan sekali nafas sahaja. Ekmal pula sudah terkebil-kebil mata mendengarnya.
            “Ekmal...” panggil Tasneem.
            “Iya bu.” Ekmal menyahut.
            Tasneem mengusap lengan Ekmal. Kolam mata beriak tenang itu ditatap lama.
            “Amal betul sayangkan Mira?” aju Tasneem.
            Serta-merta Ekmal pamer angguk kepala. Tiada sebab untuknya menyembunyikan perasaan yang sedia bergulir dalam diri bertahun lamanya. Sudah terlanjur ibu bertanya, adalah lebih baik dia berterus-terang sahaja.
            “Kali ni bukan paksaan, kan?” Tasneem meleret senyum.
            Spontan Ekmal tertawa kecil. Gelihati mendengar pertanyaan ibunya. Kali ini memang tiada unsur paksaan. Rela sepenuhnya.
            Dia boleh diibaratkan bagai orang mengantuk yang disorong bantal. Sekian lama memendam perasaan, cuba memenangi hati Amiera namun gadis itu menolak dia secara terang-terangan. Hasrat kedua ibu bapa menjodohkan dia dengan Amiera bagaikan sebuah mimpi yang jadi nyata. Ekmal menyimpul rasa bahagia dalam hati. Meski Amiera belum memberi apa-apa keputusan muktamad, dia yakin gadis itu tidak akan menolak. Amiera terikat sesuatu dengan keluarga ini. Bukan mengungkit tetapi itulah hakikatnya.
            “Kalau Sarah tak beritahu ibu, tentu ibu tak perasan.”
            “Hah?” Bukan main besar bukaan mulut Ekmal. Rahangnya jatuh ke bawah.
            “Sarah? Sarah cakap apa dekat ibu?” Sebelah kening lelaki itu terjongket tinggi ke atas. Seolah menzahirkan kata-kata hati yang berbunyi ‘jaga kau dik. Siap kau nanti abang kerjakan.’
            “Adik Amal kata, Amal dah lama suka dekat Amiera tu. Sebab tu tak pandang langsung pilihan ibu sebelum ni. Kerjanya asyik nak reject aje.” Dicuit-cuit pinggang Ekmal.
            “Pandai-pandai aje budak Sarah tu. Ibu percayalah sangat cakap anak manja ibu tu,” cebik Ekmal.
            Meletus tawa Tasneem. Peha Ekmal ditepuk kuat.
            “Kena berterima kasih dekat adik tau. Kalau bukan dia buka mulut hari tu, tiba-tiba cakap fasal Amal, ibu ni langsung tak nampak apa yang ada dalam hati Amal. Ha, peninglah Amal nak layan kerenah ibu nanti matchingkan Amal dengan anak kawan-kawan ibu, macam yang selalu ibu buat tu,” tokok Tasneem. Ulas bibirnya masih giat menguntum senyum lebar.
            Ekmal garu kepala. Pelbagai riak menakungi wajahnya.
            “Kejap lagi masuk dapur. Ibu nak hidangkan makanan untuk Amal.” Tasneem bingkas berdiri.
            “Ayah mana bu?” soal Ekmal. Dari tadi kelibat Shahreza tidak terlihat di mata.
            “Ayah Amal tu macam biasalah. Hujung minggu macam ni mana nak lekat dekat rumah. Adalah tu aktiviti dia dekat sekolah,” beritahu Tasneem. Suaranya sayup-sayup kedengaran dari ceruk dapur.
            Belum sempat meredakan gelojak perasaan saat berbicara dengan Tasneem, muncul pula Fatma dengan simpul senyum yang nyata dibuat-buat. Dia tidak tahu sejak bila Fatma berubah jadi begini sinis. Tidak sebulu dengan mereka adik-beradik. Apatah lagi dengan Amiera. 
            “Happy dengar berita yang ibu sampaikan tadi?” Fatma mengerling sekilas. Alat kawalan jauh peti televisyen dicapai. Butang merah di sudut kiri ditekan sekali.
            “Berita apa?” Pandangan mata dilorong menatap skrin kelabu televisyen yang beransur-ansur mencerah.
            Hujung bibir Fatma melarik senyum. Sedikit.
            “Kan ke abang bakal berkahwin dengan perempuan tu?” Sengaja menekan suara di hujung bicara.
            “Untung jadi Amiera Syazreen. Diberi keutamaan dari segala segi,” gumam Fatma.
            “Kenapa Ema cakap macam tu?” Rendah Ekmal melontar bicara.
            Fatma menoleh. “Takkan abang tak faham?”
            Untuk seketika, dua beradik itu saling bertempur pandang.
            “Be prepared, abang. Dalam masa terdekat ni, tentu Amiera akan menyatakan persetujuannya untuk menjadi isteri abang. Kalau pun tak suka, dia tetap terima.”
            Berkerut dahi Ekmal. Timbul garis-garis halus di situ.

MATA terbuntang serta-merta. Daripada mendongak menjulang dada langit, kini dia memerhatikan jari-jemari sendiri. Entah kenapa, ilusi mata memetakan sebentuk cincin melekat di jari manis tanpa rela. Terhembus udara melepasi salur nafas. Berat. Sungguh berat.
            Mereka tidak memaksa tetapi dari cara Tasneem memandang dia dan berkata kepadanya, dia tahu wanita itu berharap agar hasrat bermenantukan dia dipersetujui.
            Kelopak mata dipejam kembali. Angkasa raya minda ligat mencongak bicara Tasneem tadi. Dia cuba mencari ketenangan jiwa. Kala itu, wajah Tasneem merangkul ingatan. Kemudian roman mesra Shahreza pula. Diikuti raut putih berjambang halus milik Ekmal.
            “Mira!” Maya memanggil kuat. Terjengul susuk tubuh itu di tengah pintu.
            “Kau buat apa dekat luar sorang-sorang ni?” Amiera dihampiri. Sejurus itu, duduknya dilabuhkan berhampiran gadis itu. Rambutnya yang meliuk-liuk disapa angin lembut, segera disimpul dan dirapikan ke bahu kiri.
            “Aku cakap dengan tunggul ke?” Dia berkata sinis.
            “Aku ni manusia, bukan tunggul.” Amiera menyahut.
            “Dah tu?” Maya jongket kening, seraya berpeluk tubuh.
            “Ke stress kan kerja dekat office? Aku dengar, company kau tengah handle projek besar. Hang Tuah jadi figure. Aku dah terbayangkan M. Nasir, tak pun P.Ramlee.” Maya menguntum senyum.
            Amiera mengerut dahi. Pandangannya terarah pada Maya yang kelihatan begitu menikmati hembusan angin malam nan dingin.
            “Mana kau tahu?” soalnya curiga.
            “Well, apa guna ada jiran sebelah rumah? Kau ni pun, tak cakap yang Adlan tu pun kerja sama tempat dengan kau. Ceh!” Maya mencebik.
            Lentur pipi seumpama dipaksa-paksa membiaskan senyum kecil. Padanya senyum itu sekadar menjadi tempelan bagi segala bebanan permintaan keluarga di sebelah sana.
            “Kau dengan orang sebelah, memang macam ni eh?” Jari kelengkeng di taut rapat. Lalu dipertontonkan kepada Maya.
            Gadis itu menekup mulut. Suara tawanya curi-curi keluar melalui celah-celah jarinya.
            “Apa? Ingat aku tak boleh bestfriend dengan Adlan tu?”
            Mengekek Amiera ketawa.
            “Mesti kalau dia tercari-cari kalau tak nampak kau nanti.”
            “Dia tak cari aku tapi kau.”
            Buntang mata Amiera. “Aku pula?”
            “Ya... tunang kau call!” Pekikan Dayana membantutkan otot lidah Maya meluncur kata. Bingkas laju mengejar Dayana yang sudah menghulur telefon bimbit dari tingkap.
            Ulah buru-buru Maya, dan kemudian melihat gaya manja gadis itu membuatkan Amiera tersenyum panjang. Kisah Maya begitu manis. Tidak pernah kenal siapa lelaki yang bakal menjadi suaminya beberapa purnama lagi, malah berjumpa juga hanya sekali sewaktu majlis bertunang dulu. Mereka hanya berhubung melalui telefon. Kekerapan yang boleh dibilang menggunakan jari.
            Kata Maya, pilihan keluarga adalah yang terbaik. Oleh sebab itu, apabila orang tua Maya berhasrat menjodohkan dia dengan anak kenalan rapat mereka, Maya tidak membantah langsung. Malah menerimanya dengan hati terbuka.
            ‘Mampukah aku menjadi seperti Maya?’ Hati menduga-duga.
            Jari-jarinya mengurut pilipis dahi. Berdenyut-denyut.
            Permintaan Tasneem dan Shahreza kembali menduduki fikiran. Terasa beban itu memberati kedua-dua bahunya.
            “Ibu sayangkan Mira macam anak kandung ibu sendiri.”
            Udara yang berhembus seakan membawa sekali bicara Tasneem. Berulang kali.


Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

5 comments:

Unknown said...

Ok...mula2 sis nk ucapkan tahniah sbb kisah Humairah nak diterbitkan. Jgn lupa upd sis tau terbitan siapa. KPHM tu kena tukar tajuk sbb dh ada novel lain guna tajuk tu kan? Well...gud luck figuring out d new title ya..inshaAllah dipermudahkan..

Usah Lepaskan...another one of my fave. Sis suka both hero..si abg angkat dan inche bos..hihihi..awak ada nk tambah character lg ke? Sis dh nk lost track..hhahaha.. Anyway, thx for tis n3..skang dh mcm berbelah bagi lak nak cheer utk si abg angkat atau inche bos..kihkihkih.. <3

~::HANAH RISHAS::~ said...

@nveladdct

Hai sis! :)

Insya-Allah..kite akan heboh2kan hihi

Sbnrnye sis,cast dia setakat tu aje.cuma watak ayah kndung amiera je yg tak dikeluarkan lg walau dah sebut2 hihi :) InsyaAllah..kite akan pastikan sis tak lost lame2 sgt hihi lg pon ceta ni simple je :D

AYRA ZAHRA said...

yeahhh tahniah beb cite Humaira akan kaur nanti. Aku pun excited nih nk tgk baby no 2 kau. Roger2 tajuk baru ya..hihihihi.. -TPH- :D

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ayra

Kau laa mangsa dikala otak aku blank.mekasih syg! :D

AYRA ZAHRA said...

hahaha..sama2 . alah ko pun selalu jd mangsa aku .ngeee..:D